KUALA LUMPUR, 2 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu laporan analisis toksikologi berkaitan kes kematian empat individu selepas menghadiri konsert di Bandar Sunway, Subang Jaya, pada 31 Disember lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kematian semua mangsa dipercayai mempunyai kaitan dengan pengambilan dadah.
Beliau berkata ini berikutan tujuh mangsa termasuk empat yang meninggal dunia itu menunjukkan simptom sama.
“Sehingga kini terdapat enam laporan polis daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Kuala Lumpur yang memaklumkan kedua-dua hospital itu menerima tujuh pesakit yang menunjukkan simptom sama.
“Seperti dilaporkan sebelum ini empat daripada mereka meninggal dunia, dua mangsa masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) manakala seorang lagi dibenarkan keluar hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendapati ketujuh-tujuh mangsa hadir secara berasingan dengan rakan dan ahli keluarga masing-masing.
Polis membuka empat kertas siasatan mati mengejut (SDR) untuk mengenal pasti sebarang unsur jenayah atau keracunan.
Enam saksi dirakam percakapan dan beberapa pihak lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan termasuk pihak penganjur konsert serta rakan mangsa.
Pada masa sama, beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222 atau balai polis berhampiran.
Semalam, media melaporkan empat individu iaitu masing-masing dua lelaki dan dua wanita warga tempatan lingkungan usia 20 hingga 40 tahun maut selepas menghadiri satu konsert tahun baharu yang diadakan di Bandar Sunway.
Hussein dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati tiada sebarang kecederaan luaran.
- BERNAMA