KUALA LUMPUR, 2 JAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menahan 80 pendatang tanpa izin dalam operasi khas, Op Sapu, sempena Tahun Baharu 2025 di kompleks beli-belah di Seri Kembangan, dekat sini semalam.
Pengarah Imigresen Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata semua lelaki berusia antara 20 hingga 50 tahun itu terdiri warga Bangladesh, Myanmar, Filipina, Thailand, Yaman, India, Indonesia dan Nigeria.
Beliau berkata mereka yang ditahan disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 antaranya tidak memiliki pas atau permit sah serta tinggal melebihi tempoh masa dibenarkan.
“Seramai 180 warga asing diperiksa dalam operasi yang bermula 6 petang. Semua yang ditahan dibawa ke pejabat penguat kuasa bagi tujuan saringan dan dokumentasi.
“Operasi ini dilakukan selepas risikan selama tiga bulan susulan aduan orang ramai yang bimbang dengan kebanjiran warga asing di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairrul Aminus berkata operasi itu melibatkan 22 pegawai dan anggota JIM Selangor diketuai Ketua Bahagian Penguat kuasa JIM Selangor Johari Supardi.
- BERNAMA