ad
AGENDA

Tiga warga Pakistan dalang sindiket palsukan dokumen, cap imigresen tumpas

2 Jan 2025, 7:17 AM
Tiga warga Pakistan dalang sindiket palsukan dokumen, cap imigresen tumpas

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Sindiket pemalsuan dokumen dan cap imigresen yang dipercayai didalangi warga Pakistan tumpas selepas tiga suspek ditahan menerusi serbuan di sebuah premis di ibu negara.

Operasi oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur Isnin lalu itu dijalankan hasil risikan selama tiga minggu.

Pengarah JIM Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata tangkapan melibatkan suspek lelaki berusia 36 tahun, pasangan wanitanya berusia 27 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan dengan dalang wanita berkenaan.

“Kesemua suspek kini ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Wan Muhammed Saupee berkata sindiket itu dikesan aktif memalsukan pelbagai dokumen imigresen seperti pas lawatan kerja sementara, cap keselamatan imigresen, cap keluar masuk negara dan tiket penerbangan melibatkan beberapa negara serantau yang dipercayai beroperasi selama setahun.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai menumpukan pelanggan warga asing yang tinggal secara haram atau lebih masa di Malaysia dengan antara lain menjual cap keselamatan pada harga RM350 dengan keuntungan komisen sekitar RM150 setiap satu.

Tambah beliau, hasil serbuan ke premis itu, pasukan operasi turut merampas 18 naskhah pasport pelbagai negara disyaki palsu antaranya Filipina dan Pakistan, enam cap keselamatan imigresen, cap keluar masuk beberapa negara seperti Pakistan, Filipina, Bangladesh dan India, selain tiket penerbangan palsu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.