AMPANG JAYA, 2 JAN: Pasaraya Ehsan Mart yang menawarkan barangan asas pada harga murah terus melebarkan sayapnya dengan pembukaan cawangan terbaharu di Pandan Utama hari ini.
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata Kerajaan Negeri menyasarkan pembinaan 10 lagi cawangan tahun ini selepas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua dan Pandan Indah.
[caption id="attachment_680351" align="aligncenter" width="815"] EXCO Pertanian Dato' Ir Izham Hashim berucap merasmikan pasar raya Kedua Ehsan Mart DUN Pandan Indah di Pandan Utama, Ampang Jaya pada 2 Januari 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Ehsan Mart merupakan penambahbaikan untuk jualan Program Ehsan Rahmah (JER) yang bermula sejak tiga tahun lepas. Lokasi strategik sedang dikenal pasti dan kos pembinaan sekitar RM400,000 untuk setiap cawangan.
“Tahun ini kita buka 12 cawangan dahulu dan di semua 56 DUN dalam tempoh tiga tahun,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan pembukaan pasar raya itu.
[caption id="attachment_680349" align="aligncenter" width="780"] EXCO Pertanian Dato' Ir Izham Hashim diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi melawat pasar raya kedua Ehsan Mart DUN Pandan Indah di Pandan Utama, Ampang Jaya pada 2 Januari 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Bagi memenuhi keperluan penduduk, Izham memberitahu produk jualan di Ehsan Mart dan JER akan ditambah kepada 12 produk berbanding sebelum ini hanya enam produk.
“Tahun lalu kita tawarkan produk daging, ikan, ayam, telur, minyak masak dan beras. Tahun ini enam lagi disediakan iaitu bihun, sardin, pampers, lampin pakai buang, biskut dan tepung.
“Rakyat berpeluang membeli tambahan produk di Ehsan Mart selain dari senarai 12 barangan ini pada harga berpatutan antara 10 hingga 15 peratus bawah pada harga pasaran,” katanya.
[caption id="attachment_680348" align="aligncenter" width="808"] Orang ramai membeli barangan keperluan asas dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) sempena majlis perasmian pasar raya kedua Ehsan Mart DUN Pandan Indah di Pandan Utama, Ampang Jaya pada 2 Januari 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Belanjawan 2025 memperuntuk RM30 juta bagi pelaksanaan JER tahun ini, sekali gus membuktikan tekad pentadbiran negeri meringankan beban kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah.
Ehsan Mart adalah pasar raya milik Kerajaan Negeri yang dikendalikan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, menawarkan barangan asas pada harga 15 peratus lebih rendah berbanding pasaran.