ad
AGENDA

Banjir di tiga negeri, 414 mangsa berlindung di PPS takat 8 pagi

2 Jan 2025, 1:37 AM
Banjir di tiga negeri, 414 mangsa berlindung di PPS takat 8 pagi

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Situasi banjir di Kelantan, Perak dan Johor tidak berubah dengan jumlah mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri berkenaan kekal setakat 8 pagi ini.

Di PERAK, mangsa banjir kekal 307 orang daripada 59 keluarga yang masih berlindung di PPS Dewan Kampung Asli Chinggung di daerah Muallim.

Jabatan Pengairan dan Saliran Perak pula memaklumkan Sungai Perak di Pasang Api, Bagan Datuk berada pada paras bahaya dengan merekodkan bacaan 3.11 meter (m) berbanding paras normal.

Di KELANTAN, jumlah mangsa kekal dengan 38 orang daripada 10 keluarga dan ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh, Rantau Panjang.

Portal Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran pula memaklumkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada paras amaran iaitu 8.0m berbanding paras bahaya 9.39m malam tadi.

Situasi sama direkodkan di JOHOR dengan jumlah mangsa kekal 69 orang daripada 17 keluarga dan ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Gembut dan Balai Raya Kampung Perpat di daerah Kota Tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani menerusi kenyataan berkata selain itu, rekod bacaan paras air di stesen Sungai Simpang Kanan di Parit Belemam, Batu Pahat masih berada di paras amaran dengan bacaan 2.31m.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.