SHAH ALAM, 1 JAN: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bersetuju dengan cadangan menaik taraf Taman Sentosa kepada status bandar bermula Februari.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr G Gunaraj berkata usaha itu bagi mengimbangi kawasan pembangunan di Bandar Botanik, Bandar Bukit Tinggi, Bandar Putera dan Bandar Puteri.
“Pembangunan lama di Taman Sentosa mempunyai lebih 25 taman perumahan jadi sudah menjadi terlalu padat.
“Sebuah mesyuarat telah dibuat dengan MBDK, pihak mereka bersetuju dengan cadangan naik taraf dan akan diumum dalam sebuah majlis pada Februari depan,” katanya kepada Media Selangor.
Gunaraj berharap kemudahan infrastruktur terutama kawasan perumahan dan rumah ibadat di Taman Sentosa dapat dipertingkatkan seiring dengan status bandar.
“Peningkatan dan naik taraf nama Taman Sentosa ke peringkat status bandar ini adalah berita baik buat penduduk. Harap mentaliti mereka juga berubah.
“Isu kritikal di kawasan ini kebersihan, jadi perlu ada kerjasama jangan buang sampah di merata tempat. Naik taraf ini merupakan visi DUN Sentosa memperhebatkan kawasan perumahan dan ibadat,” jelasnya.