KUALA SELANGOR, 31 DIS: Kerja menstabilkan tebing dan tembok penahan (shift pilling) di kolam takungan Hillpark, Saujana Utama akibat pecah dijangka siap dalam tempoh sebulan.
EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata penstabilan akan dibuat oleh pemaju sebagai langkah jangka pendek selain mendalamkan kawasan kolam tidak melebihi dua meter untuk mengelak kejadian berulang.
“Kos segala kerja penstabilan akan ditanggung pemaju memandangkan pembangunan belum siap sepenuhnya dan belum diserahkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.
[caption id="attachment_680072" align="alignleft" width="500"] EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim ditemui media selepas meninjau kolam takungan Hillpark yang pecah menyebabkan limpahan air ke Taman Seri Alam, Saujana Utama pada 31 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Langkah jangka panjang pula menaik taraf parit untuk tampung kapasiti air hujan jika lebat. Kerajaan Negeri akan mengkaji rancangan ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak kolam itu di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ir Izham memaklumkan kelemahan reka bentuk dinding getah (rubber wall) antara faktor awal yang dikesan punca runtuhan hingga menjejaskan 200 kediaman di Taman Seri Alam.
“Kolam ini siap dibina pada 2015 yang direka pada ketinggian 0.2 meter sahaja, runtuhan disebabkan air sudah naik hingga 0.3 meter.
“Ia dibina untuk kegunaan di Hillpark tetapi mendatangkan kesan kepada perumahan Taman Seri Alam disebabkan kawasan rendah,” jelasnya.
Kelmarin, Taman Seri Alam dilanda banjir selepas benteng kolam takungan bersebelahan perumahan itu pecah.
[caption id="attachment_680074" align="aligncenter" width="1041"] Kolam takungan Hillpark yang pecah menyebabkan limpahan air ke Taman Seri Alam, Saujana Utama pada 29 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 5.15 petang.
Menurutnya, benteng pecah itu menyebabkan air melimpah ke taman perumahan dan paras air adalah satu kaki atau 0.3 meter.
Semalam Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya menyalurkan RM30,000 bagi membantu kira-kira 400 mangsa banjir di situ.
[caption id="attachment_680075" align="aligncenter" width="1038"] Kolam takungan Hillpark yang pecah menyebabkan limpahan air ke Taman Seri Alam, Saujana Utama pada 29 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_680077" align="aligncenter" width="953"] EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim (dua kiri) mendengar penerangan daripada Pengarah Pengairan dan Saliran Negeri Selangor, Dato Ir Ts Mohd Nazri Yasmin (kanan) mengenai situasi kolam takungan Hillpark yang pecah menyebabkan limpahan air ke Taman Seri Alam, Saujana Utama pada 31 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]