ad
AGENDA

PM: Anjakan baharu negara 2025, dasar kerajaan beri manfaat buat rakyat

31 Dis 2024, 1:18 PM
PM: Anjakan baharu negara 2025, dasar kerajaan beri manfaat buat rakyat
PM: Anjakan baharu negara 2025, dasar kerajaan beri manfaat buat rakyat

SHAH ALAM, 31 DIS: Kerajaan sedang menggerakkan usaha yang akan dijelmakan sebagai anjakan baharu negara bermula 2025, kata perdana menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua keputusan dilaksanakan dengan niat ikhlas serta penilaian yang teliti bagi memastikan dasar kerajaan memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, antara yang menjadi tumpuan adalah fenomena kenaikan kos sara hidup yang sedang ditangani melalui penganjuran program Payung Rahmah di seluruh negara.

“Pasukan pemantau digerakkan dengan aktif untuk memerhati, memantau dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang mencatut harga dengan sewenang-wenangnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan amanat tahun baharu yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan, sebentar tadi.

Anwar menambah, kerajaan juga memberi jaminan semua bantuan dan kerja pemulihan akibat bencana banjir diuruskan segera selain merangka operasi kesiapsiagaan secara mampan.

Selain itu, katanya, kerajaan akan memberi tumpuan kepada pembinaan infrastruktur khususnya projek tebatan banjir di kawasan berisiko tinggi meski memberi kesan terhadap perbelanjaan negara.

Berhubung tugas Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar menyifatkan ia satu penghormatan besar kepada negara selain peluang membina lembaran baharu dalam agenda serantau yang semakin mencabar.

“Kerumitan landskap global saat kini menuntut ASEAN untuk melakar peranan dan pengarahan baharu. Ini ternyata menjadi tugas besar Malaysia tatkala memimpin ASEAN pada 2025.

“Maka untuk maksud ini, kita harus bersama menjunjung prinsip 'striving for excellence', maknanya berusaha mencari jalan dan kaedah supaya mencatat kecemerlangan, mengukuh perpaduan di dalam negara kita dahulu,” katanya.

Malaysia dipilih sebagai pengerusi ASEAN pada 2025 selepas memegang jawatan itu sebanyak empat kali pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.