SHAH ALAM, 30 DIS: Pendakwah Indonesia Mohammad Ulul Azmi Askandar hanya tetamu kehormat Festival Darul Ehsan Berselawat dan penganjur tiada rancangan untuknya mengalunkan selawat.
Menurut sekretariat program, pendakwah yang dikenali sebagai Gus Azmi itu hadir pada hari kedua bagi merai peminatnya meski acara penampilan khasnya dibatal sejak 25 Disember lagi.
Kenyataan berkenaan menyebut Gus Azmi bagaimanapun tidak berdiri sebaris dengan tetamu lain bagi menghormati majlis sebaliknya memilih duduk bersama kumpulannya Syubanul Muslimin.
"Namun secara luar jangka dan kawalan, salah seorang ahli kumpulan telah menyerahkan mikrofon kepada Gus Azmi seraya mengalunkan selawat bersama-sama," kata kenyataan pada 30 Disember.
Justeru, penganjur mengambil sepenuh tanggungjawab atas kejadian berkenaan dan mohon maaf jika situasi tersebut menimbulkan ketidakselesaan kepada mana-mana pihak.
Sekretariat itu juga menjelaskan Gus Azmi sedia maklum dan akur ketetapan untuk tidak meneruskan rancangan membuat penampilan khas tetapi berhasrat hadir sebagai tetamu.
Meski hujan, festival selama tiga hari mulai 27 Disember di Setia City Park Oval Lawn, Setia Alam dihadiri lebih 300,000 orang yang menjayakan program munajat, zikir dan selawat.
Tokoh terkenal yang ditampilkan antaranya Habib Najmuddin Al Khered, Habib Ali Zainal Abidin Assegaf, Ustaz Iqbal dan Ustaz Neezam.