SHAH ALAM, 30 DIS: Penjawat awam di Selangor hari ini tersenyum lebar apabila menerima bayaran pertama Bantuan Khas Kewangan (BKK) satu bulan.
Pemberian BKK itu susulan pengumuman Dato' Menteri Besar pada Belanjawan 2025 November lalu yang memaklumkan semua penjawat awam menerima BKK 2024 sebanyak dua bulan yang akan dibayar secara berperingkat.
Dato' Seri Amirudin Shari menerusi Facebook menyifatkan pembayaran BKK satu bulan gaji adalah sebagai penghargaan atas komitmen diberikan penjawat awam kepada Kerajaan Negeri.
"Hari ini, 30 Disember 2024, kita meraikan dedikasi luar biasa penjawat awam Selangor. Mereka adalah tulang belakang negeri ini bagi memastikan Selangor terus berjaya dan cemerlang.
"Kita telah mencapai kejayaan empat tahun berturut-turut melangkaui sasaran hasil negeri. Ini adalah hasil kesungguhan dan dedikasi penjawat awam Selangor.
"Semoga insentif khas ini dimanfaatkan sebaiknya dan diterjemah dalam bentuk peningkatan kualiti perkhidmatan yang lebih baik untuk Selangor dan seluruh warganya," katanya.
Sebelum ini, menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2025, Amirudin mengumumkan pemberian BKK 2024 sebanyak dua bulan kepada semua penjawat awam yang akan dibayar secara berperingkat.
Jelasnya, BKK pertama akan dibayar pada hari ini (30 Disember) dan seterusnya pada 25 Mac 2025 sempena sambutan Aidilfitri.