ad
AGENDA

KP: RM40 juta diperuntuk baik pulih Tabika, Taska KEMAS

30 Dis 2024, 8:36 AM
KP: RM40 juta diperuntuk baik pulih Tabika, Taska KEMAS

GOPENG, 30 DIS: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sejumlah RM40 juta kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi menaik taraf serta membaik pulih Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di seluruh negara.

Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man berkata kira-kira 60 peratus daripada 10,600 kelas TABIKA dan TASKA diberikan keutamaan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dengan segera disebabkan keadaan premis yang uzur dan rosak.

"Keutamaan sudah tentu akan diberikan kepada bangunan yang sudah agak berusia kerana kita hendak memastikan dari segi aspek keselamatan anak-anak yang berada di situ selamat untuk mengikuti pelajaran mereka.

"Buat masa ini semua negeri sedang menyiapkan data akhir TABIKA yang perlu dinaik taraf dan baik pulih, Insya-Allah pada awal Februari kita sudah boleh mula proses sebut harga dan tender untuk kerja-kerja berkenaan," katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan kakitangan KEMAS Perak di Pusat Kegiatan Masyarakat KEMAS di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hanafiah berkata sebanyak 17 buah TABIKA baharu termasuk dua buah di Kampar dan Tambun akan dibina pada tahun depan.

Beliau berkata pembinaan baharu itu bagi menampung keperluan pembelajaran kanak-kanak di seluruh negara.

"Alhamdulillah, minat ibu bapa untuk menghantar anak mereka semakin meningkat dan sehingga kini jumlah yang dalam kategori senarai menunggu melebihi 20,000 kanak-kanak yang mahu belajar di TABIKA KEMAS," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.