SHAH ALAM, 30 DIS: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) berjaya mengagihkan wakaf fisabilillah sebanyak RM2.4 juta pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Anuar Hamzah Tohar berkata agihan dibuat kepada 69 institusi termasuk tujuh masjid, 12 surau dan 45 pusat pendidikan di seluruh negeri.
“Pengagihan sumbangan wakaf ini bagi membantu pembangunan, menaik taraf dan pembelian aset kekal atau yang boleh memberi manfaat sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun.
“Sebenarnya kita terima 150 permohonan bagi agihan wakaf tetapi hanya 69 sahaja yang diluluskan dan menepati syarat ditetapkan,” katanya pada sidang media.
Terdahulu beliau ditemui pada majlis suai temu bersama kira-kira 50 pengamal media daripada pelbagai agensi berita di pusat beli-belah SACC di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anuar menambah, kutipan wakaf fisabilillah tahun ini meningkat sebanyak 84.6 peratus berbanding kutipan tahun lalu iaitu hanya RM1.3 juta.
Jelasnya, institusi yang berminat memohon wakaf fisabilillah perlu menepati syarat ditetapkan iaitu permohonan yang bersifat keperluan dan kejadian bencana alam.
“Tahun hadapan kita sasar kutipan wakaf fisabilillah adalah RM3 juta dan PWS komited untuk memperhebatkan lagi usaha bagi memastikan wakaf menjadi satu budaya di Selangor,” katanya.
Wakaf tunai boleh dilaksanakan secara atas talian menerusi https://fpx.wakafselangor.gov.my/ewo_login.asp atau secara potongan bulanan di Sistem Borang Online PWS (https://bo.wakafselangor.gov.my) bermula 1 Januari 2025.