SHAH ALAM, 29 DIS: Beberapa jam selepas pesawat penumpang Korea Selatan tergelincir landasan, kapal terbang Air Canada pula dilapor tergelincir landasan ketika melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Halifax.
Pesawat De Havilland Canada Dash 8-400 dalam penerbangan dari St John ke Halifax tergelincir menyebabkan berlaku percikan api pada sayap akibat terseret di landasan pada jam 9.30 malam (Sabtu), lapor Malaysia Gazette.
Jurucakap Air Canada, Peter Fitzpatrick dipetik berkata, pesawat tersebut disyaki mengalami ‘isu komponen pendaratan' (tayar) yang mana ia tidak dapat sampai ke terminal dan 73 penumpang serta anak kapal berjaya dikeluarkan dari pesawat dan dipindahkan ke bas.
Fitzpatrick menambah tiada kecederaan berlaku namun seorang jurucakap Royal Canadian Mounted Police (RCMP) memberitahu terdapat kecederaan ringan.
Nahas itu berlaku selepas pesawat Jeju Air dengan 181 penumpang mengalami masalah teknikal ketika melakukan pendaratan dan merempuh pagar menyebabkan berpuluh-puluh orang maut.
Insiden berlaku pada jam 9.07 pagi ketika penerbangan itu cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan di Wilayah Jeolla Selatan, kira-kira 288 kilometer dari Seoul, menurut pegawai.