SHAH ALAM, 29 DIS: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkongsi pelbagai tawaran inisiatif menerusi penganjuran Festival Darul Ehsan Berselawat di Setia City Park Oval Lawn, Setia Alam.
Ketua Unit Korporatnya Zafrullah Aris berkata antara yang dikongsi program pinjaman desktop dan komputer riba yang diperkenal dibawah Iltizam Selangor Penyayang.
“Ramai bertanya tentang program ini dan berminat untuk memohonnya. PPAS ambil peluang penganjuran program berselawat untuk memberi penjelasan kerana sekiranya layak permohonan diluluskan serta-merta.
“Bukan itu sahaja, kita juga menyediakan ruangan permainan pendidikan untuk kanak-kanak. Kita sediakan ruangan ini supaya apabila ibu bapa berselawat anak-anak boleh bermain di ruangan permainan,” katanya kepada Selangorkini.
Tambah beliau, PPAS juga bawa perpustakaan bergerak dan BA.CA Basikal Buku yang merupakan perkhidmatan terbaharu PPAS kepada pengunjung.
[caption id="attachment_679778" align="alignleft" width="458"] Peniaga, Rafizan Roslan 42 ketika hadir Festival Darul Ehsan Berselawat Rehlah Menuju Cahaya Shifa di Setia City Park, Setia Alam pada 28 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Sementara itu, peniaga Rafizan Roslan,42, memaklumkan walaupun cuaca hujan pengunjung hadir ke program berselawat tetap datang ke gerainya yang menjual pelbagai barangan sunnah.
“Alhamdulillah, walaupun hujan ramai yang datang membeli pelbagai barangan sunnah seperti selendang (ridak) dan minyak wangi.
“Banyak Kerajaan Negeri membantu kerana kita ikuti program berselawat sejak awal penganjurannya,” katanya.
Kerajaan Negeri kerap menganjurkan Majlis Darul Ehsan Berselawat termasuk ketika ambang tahun baharu dan sambutan Hari Kemerdekaan yang menghimpunkan ribuan umat Islam.
Pada tahun ini, program tersebut dianjurkan beberapa kali antaranya pada Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 23 Februari.
Pada 2 Jun, Majlis Darul Ehsan Berselawat turut dianjurkan sempena majlis penutup Festival Turath Islami Selangor di Dataran Tapak Karnival Stadium Shah Alam, diikuti pada 31 Ogos di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.