SHAH ALAM, 28 DIS: Selangor memperuntuk RM3 juta bagi menaik taraf 20 lagi masjid kariah kepada masjid pengurusan tahun depan, menurut EXCO agama.
Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata sepanjang tahun ini, 20 masjid kariah berjaya dinaik taraf supaya tadbir urus lebih efisyen, berintegriti, harmoni dan dapat diimarahkan dengan baik oleh penduduk.
Menurutnya, usaha itu juga mendapat reaksi positif jemaah yang merasakan dengan pengurusan baharu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), masjid di kawasan mereka kini lebih meriah, tenang dan bebas daripada unsur hasutan agama dan politik yang melampau.
“Hasilnya, lebih ramai anak kariah selesa mengunjungi masjid pada setiap waktu solat.
“Sepanjang setahun pentadbiran saya, pengurusan masjid adalah perkara yang paling diutamakan kerana masjid harus menjadi pusat penyatuan Ummah yang bersih daripada unsur penyelewengan, kebencian, perpecahan dan politik kepartian,” katanya di Facebook.
[caption id="attachment_630099" align="alignnone" width="809"] EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah menunaikan solat subuh bersama jemaah di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Kuala Selangor pada 24 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Belanjawan 2025 memaklumkan, masjid pengurusan adalah satu kaedah pentadbiran dan pengurusan masjid yang diwujudkan di bawah Subseksyen 104(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003.
Melalui kaedah ini, masjid akan dikendalikan oleh seorang pengurus, seorang penolong Pengurus dan dua pembantu pengurus.
Pada 2019, Kerajaan Negeri bersetuju menaik taraf 10 masjid kariah menjadi masjid pengurusan untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran dan pengurusan kewangan masjid, sekali gus memastikan pengimarahan lebih sistematik.
Hasil daripada usaha ini, sehingga Oktober tahun ini, terdapat 65 masjid pengurusan di Selangor.