SHAH ALAM, 28 DIS: Kerajaan Selangor menyedia peruntukan lebih RM3 juta bagi melaksana lebih banyak program keilmuwan dan keagamaan tahun depan.
Dato’ Menteri Besar berkata dana itu turut melibatkan penganjuran program Turath Islami yang bakal menjadi pengisian penting Kerajaan Negeri bagi membangunkan kerohanian rakyat.
“Kita ingin membangunkan negara dan negeri ini bukan hanya dengan bangunan agam, tetapi juga membangunkan manusia dan salah satu cara ialah dengan menyuburkan hatinya dengan iman serta kecintaan kepada Rasulullah SAW.
“Justeru, program pengajian seperti turath akan menjadi salah satu daripada pengisian penting Kerajaan Negeri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika merasmikan Festival Darul Ehsan Berselawat 2024, malam tadi.
[caption id="attachment_679681" align="alignnone" width="822"] Ribuan umat Islam mengimarahkan Festival Darul Ehsan Berselawat Rehlah Menuju Cahaya Shifa di Setia City Park, Setia Alam pada 27 Disember 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Dianjurkan di Setia City Park Oval Lawn, Setia Alam di sini, program selama tiga hari sehingga Ahad ini diadakan sempena ambang tahun baharu selain turut dihadiri barisan tokoh Islam nusantara.
Dalam pada itu, Amirudin mahu Selangor terus menjadi benteng dalam mempertahankan syiar Islam di negara ini menerusi penganjuran berterusan program berunsur kerohanian.
Menurutnya, kritikan yang dilempar sesetengah pihak terhadap Kerajaan Negeri tidak menjadi penghalang sebaliknya menguatkan azam memperbaiki kelemahan.
“Walaubagaimana kuat kritikan, kita tidak akan berhenti menyuburkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW. Selangor akan menjadi benteng untuk teruskan program selawat ke atas Rasulullah SAW, para sahabat dan keluarga Baginda,” katanya.