SHAH ALAM, 27 DIS: Cuaca hujan tidak menghalang lebih 10,000 umat Islam berkumpul bagi mengimarahkan Festival Darul Ehsan Berselawat di Setia Alam di sini.
Program hari pertama sehingga Ahad sempena ambang tahun baharu disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang hadir bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad.
[caption id="attachment_679662" align="aligncenter" width="815"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) ketika hadir pada Festival Darul Ehsan Berselawat Rehlah Menuju Cahaya Shifa di Setia City Park, Setia Alam pada 27 Disember 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Majlis dimulakan dengan alunan zikir Delailul Khairat sebelum solat Maghrib berjemaah, diikuti selawat serta qasidah bersama kumpulan Majelis Az Zahir.
Antara tokoh Islam terkenal yang turut hadir termasuklah Habib Najmuddin Al-Khered dan Habib Ali Zainal Abidin Assegaf.
Sementara itu, pelajar, Mimi Khairun Sofea Abdul Khalid, 21, sanggup hadir dari Kulai, Johor menaiki bas ekspres bersama empat rakan bagi menghadiri program selawat anjuran Kerajaan Selangor.
[caption id="attachment_679666" align="aligncenter" width="800"] Mimi Khairun Sofea Abdul Khalid, 21[/caption]
“Saya tahu mengenai program ini daripada media sosial. Jadi saya terus ajak rakan datang, dan bas kami baru sampai tadi, dan akan pulang hari ini selepas majlis tamat.
“Saya teruja untuk datang kerana program ini unik dan tiada di Johor. Saya harap kerajaan dapat banyakkan lagi program seperti ini di semua tempat pada masa depan,” katanya.
[caption id="attachment_679667" align="aligncenter" width="812"] Muhammad Farhan Azman, 18[/caption]
Bagi Muhammad Farhan Azman, 18, beliau berharap Kerajaan Selangor dapat menganjur program keilmuwan dan keagamaan dengan lebih kerap pada tahun depan.
Menurutnya, inisiatif ini dapat dicontohi semua pihak khususnya dalam memartabatkan dan menyuburkan syiar Islam kepada rakyat.
“Saya sudah empat kali datang program selawat anjuran Kerajaan Selangor. Saya gembira kerana Selangor tidak pernah mengenepikan agama walaupun kita dihimpit arus kemajuan,” kata pelajar Kolej Profesional Baitulmal, Kuala Lumpur.
[caption id="attachment_679664" align="aligncenter" width="814"] Ribuan umat Islam hadir mengimarahkan Festival Darul Ehsan Berselawat Rehlah Menuju Cahaya Shifa di Setia City Park, Setia Alam pada 27 Disember 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Kerajaan Negeri kerap menganjurkan Majlis Darul Ehsan Berselawat termasuk ketika ambang tahun baharu dan sambutan Hari Kemerdekaan yang menghimpunkan ribuan umat Islam.
Pada tahun ini, program tersebut dianjurkan beberapa kali antaranya pada Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 23 Februari.
Pada 2 Jun, Majlis Darul Ehsan Berselawat turut dianjurkan sempena majlis penutup Festival Turath Islami Selangor di Dataran Tapak Karnival Stadium Shah Alam, diikuti pada 31 Ogos di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.
[caption id="attachment_679665" align="aligncenter" width="788"] Ribuan umat Islam hadir mengimarahkan Festival Darul Ehsan Berselawat Rehlah Menuju Cahaya Shifa di Setia City Park, Setia Alam pada 27 Disember 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]