ad
BERITA UTAMA

Negeri sasar nilai transaksi lebih RM11 bilion sempena TMS2025

27 Dis 2024, 10:00 AM
Negeri sasar nilai transaksi lebih RM11 bilion sempena TMS2025

SUNGAI BESAR, 27 DIS: Kerajaan Selangor menyasarkan potensi nilai transaksi RM11.7 bilion melalui Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025), kata EXCO Pelancongan dan Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim.

Beliau berkata sasaran itu boleh dicapai mengambil kira persiapan rapi dari segi perancangan aktiviti, program dan infrastruktur pelancongan sekali gus mampu menerima kehadiran lapan juta pelancong sebagaimana sasaran.

"Dari segi projek berkait infra pelancongan, kita telah pastikan semuanya dilaksanakan sejak tahun lepas dan saya nampak pihak berkuasa tempatan (PBT) serta penggiat industri juga telah siap sedia untuk menerima seramai mungkin kehadiran pelancong ke negeri ini.

"Saya yakin dengan kerjasama semua pihak seperti Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, PBT, agensi pelancongan dan sebagainya kita akan terus hebahkan dan seterusnya capai atau melebihi sasaran ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Bantuan Inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kumpulan ISP, Nourish With Hope, ISP Cares! di sini hari ini.

Mengenai CSR itu, Ng berkata ia dilaksanakan Kumpulan ISP yang akan berlangsung hingga 2026, antara lain melibatkan pemberian beg makanan kepada 30 keluarga kurang berkemampuan.

Program membantu 120 keluarga melalui baucar barangan runcit sebanyak RM300 secara bulanan pula membabitkan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM216,000.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.