ad
AGENDA

Tidak puas hati motosikal ditarik, wanita nekad bakar

27 Dis 2024, 2:06 AM
Tidak puas hati motosikal ditarik, wanita nekad bakar

IPOH, 27 DIS: Seorang wanita yang tidak berpuas hati kerana motosikalnya ditarik akibat tunggakan bayaran selama 20 bulan bertindak nekad membakar kenderaan tersebut di Pokok Assam, dekat Taiping petang semalam dan video kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata wanita berusia 40-an itu telah ditahan semalam untuk siasatan lanjut.

“Pada pukul 4.27 petang (26 Dis), polis menerima laporan daripada seorang lelaki berhubung kejadian seorang wanita membakar sebuah motosikal jenis Honda RSX berwarna hitam di Jalan Masjid, Pokok Assam, Taiping. Wanita itu kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad Nasir berkata berdasarkan siasatan awal, mendapati motif kejadian berpunca daripada rasa tidak berpuas hati dengan tindakan penarik motosikal yang ingin menarik motosikal tersebut kerana ansuran tertunggak selama 20 bulan.

Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.