SHAH ALAM, 26 DIS: Kerja pembersihan tumpahan 20 tan minyak kelapa sawit di Lebuhraya Karak arah Kuala Lumpur sudah mencapai 60 peratus setakat 10.30 pagi tadi.
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin memberitahu kerja pembersihan dijangka siap sepenuhnya lewat petang ini susulan sisa minyak membeku dan tebal menyukarkan kerja menyodok keluar sisa.
[caption id="attachment_677696" align="aligncenter" width="813"] EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin ketika sidang media perasmian kolam tadahan Sungai Kayu Ara di Kampung Chempaka, PJU1, Petaling Jaya pada 13 Disember 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Sehingga 10.30 pagi tadi, kerja pembersihan di lokasi masih giat dijalankan oleh kontraktor yang dilantik bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan pihak Indah Water Konsortium (IWK).
“Sebanyak empat lori tangki sedut pihak IWK digunakan bagi menyedut sisa minyak di kebuk takungan lebuh raya selain melaksana kerja pembersihan secara manual bagi mempercepatkan proses.
"Keadaan semasa terkawal dan pasukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berada di tapak memantau rapi kerja pembersihan dan keadaan semasa," menerusi kenyataan hari ini.
Kemalangan lori tangki di Lebuhraya Karak arah Kuala Lumpur dilaporkan berlaku sekitar 12.30 tengah malam semalam menyebabkan tumpahan 20 tan minyak kelapa sawit sepanjang 150 meter.
Kesan tumpahan tersebut dikesan mengalir ke anak Sungai Gombak sekali gus menjejaskan bekalan air mentah kepada loji rawatan air Sungai Gombak bermula jam 2 pagi sehingga jam 6 petang semalam.
Jamaliah memberitahu, LUAS bertindak segera dengan mengarahkan syarikat pemilik kenderaan terlibat melaksanakan kerja menyodok keluar sisa minyak yang membeku di dalam longkang dan kebuk takungan lebuh raya.
Selain itu, katanya, LUAS turut melaksanakan tindakan kawalan pencegahan dengan meletakkan tiga unit 'oil boom' di anak Sungai Gombak selain 10 beg karbon teraktif (AC) bagi tujuan nyahbau.