ad
AGENSI

Tourism Selangor hasrat perluas khidmat bas dua tingkat ke semua PBT

26 Dis 2024, 4:00 AM
Tourism Selangor hasrat perluas khidmat bas dua tingkat ke semua PBT
Tourism Selangor hasrat perluas khidmat bas dua tingkat ke semua PBT

SHAH ALAM, 26 DIS: Tourism Selangor bercadang memperluas perkhidmatan bas pelancongan dua tingkat Hop-On Hop-Off (HOHO) ke semua pihak berkuasa tempatan (PBT) pada masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Azrul Shah Mohamad berkata perancangan itu berikutan sambutan diterima amat menggalakkan ketika perkhidmatan itu mula diperkenal di Sepang tahun lalu.

[caption id="attachment_531718" align="alignleft" width="392"] Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad[/caption]

“Sempena Tahun Melawat Selangor 2025, kita bekerjasama dengan Majlis Bandar Diraja Klang (MBDK) yang mempunyai banyak rangkaian dan destinasi menarik.

“Klang kawasannya padat dengan pelbagai destinasi menarik daripada aspek makanan, bangunan bersejarah, pusat beli-belah dan juga kelestarian paya bakau. Melihat pola pelancong yang hadir sebab itu kita perluas di Klang selepas Sepang,” katanya dihubungi Selangorkini.

Dilancarkan Jun tahun lalu, HOHO memberi pengalaman kepada pelancong menaiki bas tanpa bumbung dengan hentian di beberapa lokasi tarikan pelancongan termasuk ladang buah naga dengan replika buah naga terbesar di Malaysia setinggi bangunan tiga tingkat.

Sejak diperkenalkan di Sepang, perkhidmatan bas itu berjaya menarik kira-kira 1,500 pelancong yang mana ia melibatkan 10 destinasi menarik.

Kini perkhidmatan bas pelancongan dua tingkat HOHO kini diperluas di daerah Klang sempena TMS2025 dan beroperasi sepenuhnya mulai penghujung Disember ini.

Perkhidmatan ini akan membawa pelancong ke tempat menarik bermula di Pelabuhan Klang, berhenti di Galeri Diraja, GM Klang, Pasar Jawa dan berakhir di Taman Mangrove Point.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.