SHAH ALAM, 25 DIS: Portal digital kempen visitselangor2025.my yang dilancar sempena sambutan Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) memaparkan pelbagai maklumat termasuk tawaran pakej pelancongan menarik di Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad berkata portal yang sentiasa dikemas kini itu boleh diakses orang awam selepas diperkenal pada 21 Disember lalu.
“Portal digital ini direka untuk menjadi pusat maklumat pelancongan lebih interaktif kepada pelancong. Terdapat pelbagai maklumat dikemas kini antaranya kalendar acara, festival dan pameran di seluruh Selangor.
[caption id="attachment_531718" align="alignleft" width="500"] Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad ketika ditemui media pada majlis penutup Kejohanan Golf Tourism Selangor 2022 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 23 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]
“Selain itu, peta interaktif merupakan tempat penginapan dan restoran untuk rujukan pelancong turut dipaparkan termasuk pakej pelancongan operator produk pelancongan sempena TMS2025,” katanya dihubungi SelangorKini.
Ahad lalu, Dato’ Menteri Besar melancarkan portal digital kempen visitselangor2025.my sempena sambutan TMS2025.
Disempurnakan sempena penganjuran Festival dan Konsert TMS2025 di Setia City Park, Dato’ Seri Amirudin Shari turut melancarkan maskot rasmi kempen iaitu SPARK the Fireflies.
Menerusi acara itu, Tourism Selangor juga mempersembahkan lagu tema rasmi TMS2025 berjudul Surprising Selangor yang dibawakan khas oleh penyanyi, Aizat Amdan.
Azrul Shah turut memaklumkan pihaknya giat mempromosi portal digital tersebut menerusi media sosial di platform seperti Instagram, TikTok, Facebook dan laman X dalam bentuk interaktif seperti video dan infografik.
[caption id="attachment_679029" align="aligncenter" width="1128"] Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berswafoto bersama pengunjung Festival dan Konsert Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) di Setia Alam pada 22 Disember 2024. Foto Facebook Amirudin Shari[/caption]
“Penglibatan pempengaruh media sosial dan pencipta kandungan antara inisiatif bagi mempromosikan portal digital selain menyiarkan iklan di portal media digital dan cetak dengan pautan QR yang mudah diakses.
“Tourism Selangor turut bekerjasama dengan operator produk pelancongan dengan paparan QR portal visitselangor2025.my di halaman web mereka,” katanya.
Untuk rekod, Selangor menyasarkan kehadiran lapan juta pelancong dengan 40 peratus dari luar negara sempena TMS2025.