ad
AGENDA

Bah kembali landa Raub, Lipis, 22 mangsa dipindah ke tiga PPS

25 Dis 2024, 7:21 AM
Bah kembali landa Raub, Lipis, 22 mangsa dipindah ke tiga PPS

KUANTAN, 25 DIS: Banjir kembali melanda Raub dan Lipis apabila 22 mangsa daripada lapan keluarga di dua daerah itu dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) susulan hujan berterusan sejak semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Lipis memaklumkan dua kampung terjejas iaitu Kampung Beletik dan Kampung Lubuk Kulit dengan mereka yang terkesan dipindahkan ke PPS antara jam 11.30 pagi hingga 12 tengah hari tadi.

“Banjir yang berlaku di Lipis berpunca akibat sungai dari Raub yang mengalir ke sungai di Lipis melimpah sehingga mengakibatkan beberapa rumah ditenggelami air paras paha.

“Seramai 18 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu Masjid Kampung Beletik dan Sekolah Kebangsaan Lubuk Kulit,” menurut JPBD dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, semakan di portal Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), lima sungai di negeri ini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga iaitu Sungai Jelai di Jeti Lipis, Sungai Jelai di Jeram Bungor dan Sungai Jelai di Kuala Medang, Lipis; Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh serta Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.