ad
AGENDA

Belalang padi sumber pendapatan sampingan pemotong rumput, pelanggan pelbagai negeri

25 Dis 2024, 4:33 AM
Belalang padi sumber pendapatan sampingan pemotong rumput, pelanggan pelbagai negeri

Oleh Azli Shafii

TANAH MERAH, 25 DIS: Belalang padi menjadi sumber pendapatan sampingan kepada pemotong rumput dari Kampung Rambai, Tok Chedol di sini bagi menyara keluarga.

Muhammad Rozali Zulkifli, 37, berkata menjual serangga kecil itu menjadi pendapatan sampingannya sejak 10 tahun lalu.

"Pada permulaan, saya jual belalang ini secara kecil-kecilan kepada penduduk namun tidak menyangka ia mempunyai peminat sekali gus mendapat pemintaan tinggi.

"Belalang padi ini saya cari sendiri pada waktu malam di kawasan sawah berdekatan rumah dan setiap malam saya tangkap serangga ini kira-kira satu kilogram untuk dijual kepada pelanggan," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Bapa tiga cahaya mata itu berkata dia menggunakan jala bagi menangkap belalang padi di rumput menerung dan sawah padi.

Muhammad Rozali berkata dia keluar rumah seawal 8 hingga 12 tengah malam setiap hari dan tangkapan banyak diperoleh pada musim hujan.

"Belalang yang ditangkap ini direndam dan digoreng seketika terlebih dahulu sehingga bertukar warna kemerahan sebelum dijual," katanya.

Dia bersama isteri Nor Wan Zianal Atikah Aziz, 27, menggunakan kemudahan teknologi Internet untuk mempromosi produk belalang melalui media sosial Facebook bagi meningkatkan hasil jualan.

"Alhamdulillah saya mampu memperoleh RM500 hingga RM700 sebulan bagi menambah pendapatan untuk keperluan harian keluarga.

"Saya jual RM10 bagi 100 gram kepada pelanggan di sekitar Tanah Merah dan di Selangor, Perlis dan Pulau Pinang," katanya sambil menambah selain digoreng bersama kunyit, belalang padi juga dijadikan kerisik.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.