ad
AGENDA

5.74 juta siswazah dicatat pada 2023, 3.21 juta bekerja sebagai profesional

24 Dis 2024, 3:08 PM
5.74 juta siswazah dicatat pada 2023, 3.21 juta bekerja sebagai profesional
5.74 juta siswazah dicatat pada 2023, 3.21 juta bekerja sebagai profesional
5.74 juta siswazah dicatat pada 2023, 3.21 juta bekerja sebagai profesional

PUTRAJAYA, 24 DIS: Malaysia mencatatkan 5.74 juta siswazah, meningkat 4.2 peratus dengan lebih dua pertiga bekerja dalam kategori mahir pada 2023, menurut Statistik Siswazah 2023 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata persekitaran ekonomi dan pasaran buruh yang positif sepanjang 2023 menyumbang kepada peningkatan bilangan siswazah merangkumi 5.74 juta orang atau 22.3 peratus daripada penduduk umur bekerja 15 tahun dan ke atas.

“Daripada jumlah ini, 4.92 juta orang merupakan siswazah aktif dalam tenaga buruh, seterusnya mencatatkan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Siswazah (KPTBS) yang tinggi pada 85.7 peratus.

“Pemegang ijazah mewakili 54.4 peratus (3.12 juta orang) manakala pemegang diploma menyumbang 45.6 peratus (2.62 juta orang). Bilangan siswazah ijazah dalam tenaga buruh meningkat 5.4 peratus manakala pemegang diploma menunjukkan peningkatan 3.5 peratus didorong oleh peluang pekerjaan lebih baik dan pengangguran yang lebih rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

[caption id="attachment_315861" align="alignnone" width="1245"] Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

Siswazah dalam laporan berkenaan ditakrifkan sebagai individu yang memperoleh sijil tertinggi daripada universiti, kolej, politeknik, badan diiktiraf atau setaraf, dengan tempoh pengajian sekurang-kurangnya dua tahun.

Mohd Uzir berkata pada 2023, siswazah bekerja meningkat 4.9 peratus kepada 4.76 juta orang berbanding 4.53 juta pada 2022 seiring dengan pertumbuhan pasaran buruh Malaysia yang lebih baik.

Kira-kira dua pertiga atau 67.6 peratus siswazah bekerja dalam kategori pekerjaan mahir iaitu 3.21 juta orang dengan sebahagian besarnya bekerja sebagai profesional (57.4 peratus), diikuti juruteknik dan profesional bersekutu (24.2 peratus) dan pengurus (18.5 peratus).

“Siswazah bekerja dalam kategori separuh mahir pula menyumbang 31.3 peratus atau 1.49 juta orang daripada jumlah siswazah bekerja manakala mereka yang bekerja dalam kategori berkemahiran rendah hanya mewakili 1.1 peratus (51,800 orang),” katanya.

Beliau berkata dari segi sektor ekonomi, sebahagian besar siswazah bekerja dalam sektor perkhidmatan yang menyumbang 77.5 peratus daripada jumlah siswazah bekerja merekodkan 3.69 juta orang.

Ia diikuti sektor pembuatan (13.4 peratus) dengan 637,900 orang dan sektor pembinaan (6.3 peratus) dengan 301,100 orang, manakala selebihnya sektor pertanian (1.7 peratus) dan sektor perlombongan dan pengkuarian (1.0 peratus) masing-masing mencatatkan 83,000 dan 46,800 orang.

[caption id="attachment_552699" align="aligncenter" width="950"] Graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) ceria pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-46 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM, Serdang pada 29 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]

Mengulas berkaitan gaji dan upah yang diterima siswazah, Mohd Uzir berkata gaji dan upah lebih tinggi direkodkan untuk siswazah pada 2023 berbanding tahun sebelumnya, dengan penengah gaji dan upah bulanan dalam pekerjaan utama sepenuhnya masa mereka meningkat 3.4 peratus kepada RM4,409 (2022: RM5,465).

“Ketiga-tiga tahap kemahiran pekerjaan menunjukkan peningkatan penengah gaji dan upah positif dengan siswazah dalam kategori pekerjaan mahir meningkat 3.6 peratus mencecah RM5,663 (2022: RM5,467).

“Manakala penengah gaji dan upah bagi kategori separuh mahir meningkat 4.3 peratus kepada RM2,375 (2022: RM2,276). Kategori berkemahiran rendah mencatat peningkatan 1.9 peratus untuk merekodkan RM1,915 (2022: RM1,880),” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.