ad
AGENDA

Menteri: Terap komunikasi lebih baik sampaikan maklumat dasar kerajaan

24 Dis 2024, 1:11 PM
Menteri: Terap komunikasi lebih baik sampaikan maklumat dasar kerajaan
Menteri: Terap komunikasi lebih baik sampaikan maklumat dasar kerajaan

Oleh Yasmin Ramlan

SHAH ALAM, 24 DIS: Komunikasi lebih baik perlu diterapkan untuk berdepan kritikan awam, khususnya membabitkan isu penyesuaian subsidi bersasar, akui Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Merujuk kepada subsidi bahan api yang dicadang untuk dilaksana pertengahan tahun depan, katanya, ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat jika tidak dijelaskan dengan baik.

“Kita perlu berlaku adil kepada 85 peratus yang tidak akan terjejas. Bagi mereka yang menikmati lebih banyak manfaat atau menggunakan subsidi secara tidak seimbang, kita hanya minta penyesuaian.

“Isunya timbul apabila penerima manfaat perlu menghadapi perubahan walaupun kecil. Jika perubahan ini tidak dijelaskan dengan baik, ada yang tidak sedar mereka masih menikmati subsidi,” katanya.

[caption id="attachment_674900" align="aligncenter" width="775"] Tinjauan harga petrol dan diesel di pam minyak sekitar Kuala Lumpur pada 17 Oktober 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Sembang Malam anjuran Media Selangor, yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar, malam tadi.

Dalam Belanjawan 2025 pada 18 Oktober, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan merasionalisasi subsidi petrol RON95 bermula pertengahan tahun depan.

Pemotongan subsidi akan dikenakan ke atas kumpulan yang mempunyai pendapatan tertinggi dalam masyarakat (T15), manakala selebihnya akan terus menerima subsidi.

Langkah ini dijangka mengurangkan ketirisan fiskal dan menjimatkan RM8 bilion setahun.

Sementara itu, Dato' Menteri Besar yang turut menjadi tetamu dalam program tersebut menyatakan Selangor juga melakukan perkara sama dalam pemberian skim air percuma secara bersasar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, keputusan itu dikritik rakyat termasuk parti politik, dengan sesetengah pihak menyatakan ia bakal memberi kesan dalam pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan penjelasan yang jelas dan berkesan perlu diberikan kepada rakyat supaya mereka memahami mengapa langkah tersebut dilaksanakan.

Dalam pada itu, pengarah eksekutif Ilham Centre berkata kumpulan berpendapatan rendah (B40) antara golongan yang paling ketara menerima pelbagai subsidi dan bantuan kerajaan.

“Apabila kita menilai terutamanya daripada segi garis kemiskinan, sebenarnya terdapat banyak inisiatif yang dilaksanakan jika dibandingkan dengan negara lain.

“Pada pendapat saya, usaha yang dilakukan kerajaan baik di peringkat negeri mahupun persekutuan berada pada landasan yang betul,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.