SHAH ALAM, 24 DIS: Kejayaan Selangor meningkatkan kemajuan ekonomi termasuk menarik pelaburan besar menjamin peluang pekerjaan lebih baik dan bergaji tinggi untuk rakyat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaburan meningkat sebanyak RM25.3 bilion kepada RM66.8 bilion antara Januari hingga September lalu.
Menurutnya, pelaburan sebesar itu bermakna peluang pekerjaan yang lebih baik dan bergaji tinggi untuk rakyat dalam sektor teras seperti pembuatan, kejuruteraan dan perkhidmatan.
“Menjelang tahun baharu, marilah kita membina nilai pertumbuhan mampan bersama dan meneruskan kemajuan yang dicapai tahun ini agar 2025 menjadi tahun yang lebih baik,” katanya dalam perutusan sempena Hari Krismas hari ini.
Amirudin dalam pada itu turut mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada semua penganut Kristian di Selangor, Sarawak, Sabah dan seluruh Malaysia yang bakal menyambut perayaan itu esok.
“Musim perayaan adalah masa untuk bersama dengan orang tersayang dan Krismas tidak terkecuali, terutama bagi penganut Kristian yang sedang membuat persiapan akhir untuk menyambut perayaan tahun ini.
“Bagi penganut Kristian, musim ini menekankan kepentingan belas kasihan, kasih sayang tanpa batas, mendahulukan kepentingan orang lain dan harapan yang diilhamkan oleh bintang yang membimbing tiga orang bijaksana ke Bethlehem.
“Bintang itu sering digantung pada pokok Krismas di rumah, melambangkan cahaya dan harapan untuk hari esok yang lebih baik,” katanya.
[caption id="attachment_677918" align="alignnone" width="736"] Persembahan sempena majlis Rumah Terbuka Sambutan Perayaan Krismas Peringkat Negeri Selangor di Dataran Bandar Sunway, Subang Jaya pada 14 Disember 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Lebih 5,000 pengunjung pelbagai kaum memeriahkan sambutan perayaan Krismas dan rumah terbuka peringkat Selangor pada 14 Disember lalu.
Amirudin sebelum ini memaklumkan Selangor mencatat kutipan pelaburan sebanyak RM66.8 bilion setakat Semptember, melepasi RM55 bilion sasaran ditetapkan tahun ini.
Katanya, laporan dikeluarkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjadikan Selangor sebagai negeri paling banyak menarik pelaburan.