ad
AGENDA

Dua lelaki ditahan insiden pergaduhan di stesen LRT

24 Dis 2024, 10:15 AM
Dua lelaki ditahan insiden pergaduhan di stesen LRT

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Dua lelaki ditahan dipercayai terlibat dengan kes pergaduhan antara dua kumpulan penyokong bola sepak dalam kejadian di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan, Laluan Ampang-Sri Petaling di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kedua-dua lelaki berumur 22 dan 24 tahun itu ditahan hari ini di kediaman masing-masing di ibu negara dan Ampang, Selangor.

“Kedua-dua suspek direman dua hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Polis memandang serius kejadian ini dan menyeru orang ramai tidak melakukan apa-apa perbuatan yang salah di sisi undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 21 Disember lalu, pihak polis mengesan video tular yang memaparkan kejadian pergaduhan di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Laluan Ampang-Sri Petaling.

Insiden pergaduhan berkenaan melibatkan antara 20 hingga 30 orang yang bertindak agresif dengan bertumbuk, membaling tong sampah serta menendang pintu tren hingga mengakibatkan kerosakan yang menyebabkan Prasarana Malaysia Berhad membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.