PETALING JAYA, 24 DIS: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukti Gasing menjadi tumpuan sempena cuti persekolahan dan ambang Hari Krismas esok.
Diadakan di tempat letak kereta Seksyen 8 di sini, orang ramai mula menunggu seawal jam 9 pagi untuk membeli barangan dapur di program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
Pekerja swasta, K Shanthi, 53, berkata beliau sudah banyak kali datang ke program jualan murah kerana harganya murah berbanding di pasaran luar.
[caption id="attachment_679246" align="alignleft" width="343"] Pekerja swasta, K Shanthi[/caption]
“Biasanya beli untuk keperluan sendiri sahaja tetapi cuti sekolah dan Hari Krismas esok saya beli lebih kerana anak cucu balik ke rumah untuk meluangkan masa bersama-sama.
“Antara barang yang saya mesti beli di jualan ini beras, ayam dan minyak kerana harganya murah,” katanya yang tinggal di Seri Sentosa, Jalan Klang Lama.
[caption id="attachment_679247" align="alignright" width="352"] Suri rumah, Nahani Mohd Salleh[/caption]
Bagi suri rumah Nahani Mohd Salleh, 63, pula beliau sentiasa menunggu jualan murah diadakan di kawasan berhampiran rumahnya untuk membeli keperluan dapur.
“Setiap kali jualan berhampiran rumah, saya tidak lepaskan peluang untuk datang. Sejak dianjurkan lebih lima kali saya datang ke jualan ditemani suami dengan menaiki motosikal.
“Tetapi esok cuti sekolah saya beli keperluan dapur lebih kerana anak cucu balik… dapat kami sekeluarga makan bersama-sama,” katanya.
[caption id="attachment_679249" align="alignleft" width="348"] Chang Kok San[/caption]
Sementara itu, Chang Kok San, 70, menyifatkan penganjuran JER membantu meringankan beban khususnya mereka yang berpendapatan rendah.
“Kawan beritahu saya program ini dan kali pertama datang harga barangan sangat bagus kerana amat murah.
“Saya beli ayam dan telur, cuti sekolah boleh beri anak dan cucu makan,” ujarnya.
JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek) telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).
[caption id="attachment_679250" align="alignnone" width="808"] Orang ramai yang hadir pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Bukit Gasing sempena Krismas di Seksyen 8, Petaling Jaya pada 24 Disember 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini. Bagi meluaskan capaian, PKPS dengan kerjasama Segi Fresh menyasarkan pembukaan 10 cawangan Pasaraya Ehsan Segi Fresh. Pasar raya pertama telah dibuka di Bagan Nakhoda Omar, Bernam Jaya.
PKPS juga melancarkan Pasar Raya Ehsan Mart di Dataran Selayang, Batu Caves yang menawarkan harga barangan asas lebih rendah. Pasar raya itu bakal diperluas di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menganjurkan jualan bersubsidi terbesar.
Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.