ad
AGENDA

DOSM: Ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus suku ketiga 2024

24 Dis 2024, 8:30 AM
DOSM: Ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus suku ketiga 2024
DOSM: Ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus suku ketiga 2024
DOSM: Ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus suku ketiga 2024

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Ekonomi Malaysia mengekalkan pertumbuhan kukuh pada suku ketiga pertama 2024, berkembang 5.2 peratus dari Januari hingga September, kata Jabatan Perangkaan (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ia menunjukkan peningkatan ketara berbanding pertumbuhan 3.8 peratus dicatatkan dalam tempoh sama pada 2023.

“Prestasi memberangsangkan ini mencerminkan daya tahan yang berterusan walaupun menghadapi ketidaktentuan global dan dilihat sebagai petanda positif untuk kestabilan ekonomi negara.

“Sehubungan itu, ekonomi Malaysia berada pada landasan kukuh untuk pembangunan yang berterusan sepanjang 2024,” katanya dalam laporan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 12/2024 yang dikeluarkan hari ini.

[caption id="attachment_632590" align="alignleft" width="453"] Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. Foto BERNAMA[/caption]

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 2.1 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2024, sedikit perlahan berbanding 2.3 peratus pada September, pertumbuhan itu dipacu oleh sektor pembuatan (3.3 peratus) dan elektrik (2.5 peratus) manakala sektor perlombongan menyusut 2.8 peratus.

Dari segi bulanan, IPP meningkat semula dengan pertumbuhan 1.7 peratus.

Pada masa sama, sektor pembuatan mencatatkan peningkatan jualan 3.0 peratus tahun ke tahun, mencapai RM161.3 bilion pada Oktober 2024, pertumbuhan tersebut didorong kebanyakannya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau yang melonjak 11.2 peratus.

Melihat kepada sektor perkhidmatan secara keseluruhan, industri perdagangan borong dan runcit terus memperlihatkan prestasi menggalakkan pada Oktober 2024, jualan mencapai RM150.1 bilion, meningkat 5.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bagi prestasi perdagangan luar Malaysia pula, prestasi perdagangan negara kekal stabil pada Oktober 2024 dengan jumlah dagangan meningkat 2.1 peratus tahun ke tahun untuk mencapai RM244.3 bilion.

[caption id="attachment_563755" align="aligncenter" width="889"] Pemandangan bandar raya Kuala Lumpur pada waktu malam. Foto BERNAMA[/caption]

Eksport mencatatkan peningkatan sederhana 1.6 peratus berjumlah RM128.1 bilion manakala import naik 2.6 peratus kepada RM116.1 bilion.

Walaupun lebihan dagangan merosot 7.6 peratus kepada RM12.0 bilion, data bulanan menunjukkan prestasi lebih positif dengan eksport, import, dan jumlah dagangan masing-masing melonjak 3.7 peratus, 4.8 peratus dan 4.2 peratus.

Pasaran buruh Malaysia pula meneruskan momentum positif dalam pertumbuhan tenaga kerja, tenaga buruh meningkat 1.7 peratus, daripada 16.97 juta pada Oktober 2023 kepada 17.27 juta, mendorong Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) naik kepada 70.5 peratus, kata Mohd Uzir.

Tenaga buruh juga menunjukkan peningkatan dengan kenaikan 1.9 peratus kepada 16.72 juta.

Beliau menjelaskan bahawa Indeks Pelopor (IP) Malaysia mencatatkan kenaikan 1.5 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2024, menokok kepada 111.1 mata berbanding 109.5 mata pada tahun sebelumnya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.