SHAH ALAM, 24 DIS : Orang ramai diseru melunas segera bayaran cukai taksiran bagi penggal 1/2025 sebelum atau pada 28 Februari 2025 bagi mengelak fi notis RM20.
Datuk Bandar Klang Datuk Abd Hamid Hussain bagaimanapun berkata Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) masih dalam proses edaran bil cukai taksiran bagi penggal tersebut.
"Sekiranya orang awam tidak menerima bil cukai taksiran bagi penggal 1/2025, semakan boleh dibuat menerusi laman sesawang ipay.mpklang.gov.my atau hadir ke kaunter MBDK berhampiran.
"Bayaran juga boleh dibuat menerusi perkhidmatan bayaran mesin kiosk, perbankan internet dan Jompay (kod bil:5264)," katanya ketika mempengerusikan mesyuarat penuh MBDK hari ini.
Abd Hamid menambah individu yang melunaskan bayaran tunggakan dan semasa setahun bagi 2025 berpeluang mendapat payung percuma.
"Penebusan payung ini diberikan kepada 2,900 pembayar cukai yang terawal dengan membawa resit pembayaran di kaunter hasil Ibu Pejabat MBDK," katanya.
MBDK turut mengadakan kempen pembayaran cukai taksiran di pasar raya Lotus Bukit Tinggi (4-5 Januari dan 11-12 Januari) serta Pasaraya NSK Klang Sentral (18-19 Januari dan 25-26 Januari) dari jam 10 pagi hingga 6 petang.