ad
AGENDA

Belum terlambat untuk kerajaan perpaduan raih kepercayaan Melayu

24 Dis 2024, 4:08 AM
Belum terlambat untuk kerajaan perpaduan raih kepercayaan Melayu

SHAH ALAM, 24 DIS: Masih belum terlambat untuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menangani isu keyakinan pengundi Melayu terhadap kerajaan perpaduan, kata Ilham Centre.

Pengarah Eksekutifnya Hisommudin Bakar berkata penekanan harus tertumpu kepada tindakan untuk menangkis rasa tidak percaya pimpinan Anwar dalam menjaga kepentingan orang Islam.

Menurutnya, timbul kegusaran kaum Melayu yang skeptikal dengan kerajaan Madani untuk menerangkan ataupun menjawab dengan baik sebarang isu membabitkan agama serta bangsa mereka.

“Ia membawa gangguan sentimen persepsi dan fakta. Perlu ada usaha dan kerja kuat dari pihak kerajaan apabila datang isu sensitif, sebagai contoh kibar bendera China di Teluk Intan.

“Kita boleh nampak respon rakyat terhadap isu ini, jadi kerajaan perlu neutralkan kemarahan itu. Dalam tempoh dua tahun ini, masih ada ruang untuk kerajaan bertindak balas,” katanya.

Beliau bercakap demikian dalam program bual bicara Sembang Malam anjuran Media Selangor yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar, malam tadi.

Hisommudin menjelaskan sokongan dan keyakinan orang Melayu merupakan cabaran utama yang sedang dihadapi kerajaan dan perlu diberi perhatian oleh perdana menteri.

Tambahnya, ia berdasarkan hasil kaji selidik pihaknya dalam tempoh dua tahun pentadbiran kerajaan Madani, sokongan Melayu terhadap Anwar hanya mencapai 44 peratus.

“Dalam kajian, kita buat perbicangan berkumpulan bersama responden, apa sebenarnya perdana menteri tidak buat lagi. Daripada berbusana Melayu, maksudnya cuba tampil secara simbolik kepada rakyat.

“Kediaman rumah diaktifkan dengan majlis ilmu, pada kempen pilihan raya negeri diumumkan subsidi kepada pesawah dan gaji penjawat awam dinaikkan, semua indikator ini diuji dalam temu bual.

“Tetapi masih ada elemen yang menganggu pemikiran responden ini, sebagai contoh antara jawapan diberikan anak muda kepada saya parti perdana menteri mewakili bukan orang Melayu,” jelasnya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.