SHAH ALAM, 24 DIS: Jemaah menteri dan ahli parlimen terutama blok kerajaan perlu bekerjasama dan berganding bahu dalam membangunkan negara, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Menurutnya, sebarang kegagalan ataupun kejayaan bukan terletak di bahu Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja, sebaliknya tanggungjawab itu perlu dipikul bersama anggota pentadbiran.
Beliau yang juga wakil rakyat Lembah Pantai turut mengingatkan pemimpin kerajaan membantu perdana menteri menangkis tohmahan segelintir pihak dalam landskap politik dan ekonomi masa kini.
“Kalau Kabinet gagal berkomunikasi, saya kena tanggung dan menjadi tanggungjawab selaku menteri komunikasi dan jurucakap kerajaan.
[caption id="attachment_642411" align="alignleft" width="464"] Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bercakap kepada media selepas majlis peluncuran Kod Etika Wartawan Malaysia di Dewan Serbaguna Kompleks Kementerian Komunikasi, Putrajaya pada 20 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
“Kita mempunyai ahli parlimen yang ramai termasuk menteri, bermakna mendokong dan membentuk blok yang memerintah serta mentadbir bersama, jadi beban juga perlu diurus secara kolektif,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Sembang Malam anjuran Media Selangor yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar, malam tadi.
Ia turut menampilkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar.
Pada masa sama, Fahmi berpandangan elemen ketidakpercayaan terhadap kerajaan menjadi salah satu cabaran pentadbiran pimpinan Anwar pada masa kini.
“Trend ini memuncak ketika pandemik Covid-19. Pada ketika itu, kita mengharungi dalam keadaan kena mendengar dan patuh arahan kerajaan, terutama membabitkan pengambilan vaksin.
"Di sinilah bermulanya virus kurang percaya yang bagi saya menjadi fenomena terbaharu di seluruh pentadbiran dunia,” katanya lagi.