SHAH ALAM, 24 DIS: Isu ekonomi kekal sebagai fokus utama pengundi dengan 65 peratus menyatakan ia sebagai masalah utama yang dihadapi rakyat, menurut laporan kaji selidik Merdeka Center.
Dapatan kaji selidik untuk mengukur persepsi pengundi dari 27 November hingga 10 Disember 2024 menunjukkan peratusan tersebut menurun berbanding 74 peratus setahun lalu.
“Selain itu, jumlah pengundi yang berpendapat negara menuju arah yang betul meningkat kepada 39 peratus awal bulan ini berbanding 36 peratus pada November 2023.
“Sebanyak 53 peratus pengundi berpendapat negara sedang menuju arah yang salah, menurun daripada 54 peratus pada tahun lalu.
“Faktor utama yang menyumbang kepada pandangan negatif ialah isu ekonomi (47 peratus), ketidakstabilan politik (tujuh peratus) dan pentadbiran yang lemah (lapan peratus),” katanya.
Dalam tinjauan ini, sebanyak 1,207 pengundi berdaftar ditemu bual melalui telefon talian tetap dan mudah alih dengan komposisi responden mencerminkan profil pilihan raya kebangsaan.
Ia terdiri daripada 52 peratus Melayu, Cina (29 peratus), India (tujuh peratus) dan masing-masing enam peratus bagi Bumiputera Muslim dan Bumiputera bukan Muslim (dari Sabah dan Sarawak).
Responden dipilih menggunakan pensampelan rawak berstrata mengikut kumpulan umur, etnik, jantina dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tinjauan ini dibiayai sepenuhnya oleh sumber kewangan dalaman Merdeka Center.