ad
AGENDA

Polis laksana Op Lancar hingga 2 Januari sempena cuti sekolah, Krismas

23 Dis 2024, 12:19 PM
Polis laksana Op Lancar hingga 2 Januari sempena cuti sekolah, Krismas

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman akan melaksanakan Op Lancar bermula hari ini hingga 2 Jan depan sempena musim perayaan dan cuti akhir tahun persekolahan.

Pengarah JSPT Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata langkah tersebut bertujuan mengurangkan kesesakan menerusi tindakan penyuraian di laluan utama selain memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“JSPT mengambil maklum pertambahan aliran kenderaan dan kesesakan di Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Pantai Timur (LPT) termasuk lain-lain konsesi lebuh raya serta jalan-jalan persekutuan dan jalan negeri.

“PLUS dalam kenyataan pada 17 Dis menjangkakan sebanyak 2.12 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya dalam sehari, susulan pemberian tol percuma untuk semua kenderaan ringan bermula hari ini hingga esok selain kesempatan cuti persekolahan hingga penghujung 2024,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan lalu lintas seperti memandu mengikut kelajuan yang ditetapkan, tidak memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah serta mematuhi peraturan lampu isyarat merah.

Mohd Yusri turut menasihati orang ramai supaya merancang perjalanan dan sentiasa peka dengan keadaan persekitaran termasuk cuaca serta maklumat aliran lalu lintas sebelum memulakan perjalanan bersama keluarga.

“Pastikan kenderaan dalam keadaan selamat dan diselenggara dengan baik. Bagi majikan dan pemandu kenderaan perdagangan digalakkan merancang pergerakan dengan keutamaan menggunakan jalan persekutuan dan jalan negeri untuk mengurangkan kesesakan di lebuh raya utama di seluruh negara.

“Pengguna jalan raya juga hendaklah kekal berdisiplin serta sentiasa berhemah dan pihak polis menghargai kerjasama yang diberikan pengguna jalan raya. Untuk penyaluran maklumat berkaitan kesesakan lalu lintas. orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan di peringkat daerah dan kontinjen,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.