SHAH ALAM, 23 DIS: Semua sekolah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berada dalam keadaan selamat.
EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata ini berikutan kontraktor yang dilantik bertauliah dan mengikut peraturan ditetapkan.
“Semua sekolah berdaftar dengan Jais tiada masalah kerana kita memang melantik kontraktor yang bertauliah.
"Namun, insiden pelajar maut disyaki terkena renjatan elektrik itu berlaku di sekolah persendirian bukan di bawah Jais.
“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri ambil maklum perkara ini dan masih menunggu laporan penuh daripada Suruhanjaya Tenaga,” katanya dihubungi Selangorkini.
Dalam kejadian pada Rabu lalu, Muhammad Harith Mohd Fazrul, 12, meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik ketika memegang tiang besi di sebuah sekolah agama dekat Serdang sebelum rebah di atas penutup longkang.
Susulan kejadian itu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengarahkan sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu dihentikan serta-merta mengelak kejadian serupa berulang dan membolehkan siasatan dijalankan.