SHAH ALAM, 23 DIS: Sepuluh syarikat pemula dari Selangor menyertai program perkongsian dan latihan keusahawanan di Taipei, Taiwan bagi meningkatkan potensi perniagaan di pasaran global.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata sesi itu memperkukuh kerjasama dan merangsang inovasi dalam kalangan komuniti syarikat pemula kedua-dua negara.
“Kami menyertai program Meet Startup-Malam Perkongsian Transformasi Inovasi dan Pemberdayaan Taiwan-Malaysia. Kedua-dua pihak berkongsi perjalanan keusahawanan dan cabaran masing-masing.
“Syarikat pemula di Selangor kini bersedia sepenuhnya untuk menembusi pasaran antarabangsa dan diharap sesi perkongsian ini memberi inspirasi kepada semua untuk berimpian besar dan membawa produk mereka ke pentas global,” katanya di Facebook.
Sze Han berkata acara itu bukan sahaja membantu memperluas rangkaian hubungan tetapi turut membuka peluang meningkatkan potensi dan daya saing perniagaan masing-masing di pasaran global.
Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) melaksana Program Pemecut Selangor (SAP) bagi memacu pertumbuhan syarikat pemula dengan menyediakan sokongan menyeluruh dan membuka peluang bagi capaian antarabangsa.
Menurut Sidec pihaknya komited menyediakan sumber yang diperlukan, bimbingan serta peluang untuk membantu syarikat pemula berjaya di peringkat global.