SHAH ALAM, 23 DIS: Tinjauan Merdeka Center awal bulan ini berhubung kadar penilaian kelulusan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri meningkat kepada 54 peratus berbanding 50 peratus, setahun lalu.
Kaji selidik itu menunjukkan majoriti pengundi Malaysia memberikan Anwar penilaian positif dan berpuas hati dengan prestasi beliau dalam menarik pelaburan, memperbaiki imej negara dan memperkukuh perkhidmatan awam.
“Secara keseluruhan, pengundi berpuas hati dengan prestasi perdana menteri dalam bidang seperti menarik pelaburan, memperbaiki imej negara dan memperkukuh perkhidmatan awam.
“Namun, mereka memberikan pandangan pelbagai terhadap usaha mengukuhkan ekonomi,” katanya.
Tinjauan dijalankan oleh Merdeka Center dari 27 November hingga 10 Disember lalu untuk mengukur persepsi pengundi terhadap perkembangan semasa.
Sebanyak 1,207 pengundi berdaftar ditemu bual melalui telefon talian tetap dan mudah alih dengan komposisi responden mencerminkan profil pilihan raya kebangsaan.
Ia terdiri daripada 52 peratus Melayu, Cina (29 peratus), India (tujuh peratus) dan masing-masing enam peratus bagi Bumiputera Muslim dan Bumiputera bukan Muslim (dari Sabah dan Sarawak).
Responden dipilih menggunakan pensampelan rawak berstrata mengikut kumpulan umur, etnik, jantina dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tinjauan ini dibiayai sepenuhnya oleh sumber kewangan dalaman Merdeka Center.
Sebelum ini, kaji selidik dikeluarkan Merdeka Center pada Disember tahun lalu melaporkan kadar penilaian kelulusan Anwar sebagai Perdana Menteri menurun kepada 50 peratus daripada 68 peratus pada Disember 2022.