ad
EXCO

Pantau berkala kanak-kanak GISBH yang dilepaskan dari pusat pemulihan

23 Dis 2024, 8:42 AM
Pantau berkala kanak-kanak GISBH yang dilepaskan dari pusat pemulihan

SHAH ALAM, 23 DIS: Semakan berkala dibuat agensi berkaitan terhadap kanak-kanak GISB Holdings (GISBH) yang dilepaskan daripada pusat pemulihan kepada ibu bapa atau penjaga sah.

EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhak mengambil mereka semula jika didapati berlaku sebarang masalah.

“Kita mempunyai 434 kanak-kanak, namun setakat ini hanya 61 masih berada di pusat pemulihan. Mereka yang dilepas pulang adalah bersyarat dan tertakluk pada semakan berkala.

“Bagi yang masih berada di pusat pemulihan, kita terus mengesan ibu bapa mereka, selain tempoh jagaan kanak-kanak ini sehingga hujung Januari depan,” katanya dihubungi SelangorKini.

Ditanya perkembangan kanak-kanak terbabit, Dr Fahmi memaklumkan mereka yang kekal di rumah berkenaan masih menjalani proses pemulihan akibat trauma dan akan mengambil sedikit masa.

Oktober lalu, Selangor menubuhkan pasukan khas bagi meneliti program pemulihan khusus untuk kanak-kanak yang dijumpai di rumah amal GISBH di negeri itu.

Ditubuhkan berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2 Oktober, pasukan itu dipengerusikan Dr Fahmi dan EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari.

Pasukan itu dianggotai polis, JKM, Jais, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Lembaga Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Selangor, pakar psikologi dan pendidikan kanak-kanak.

Turut terlibat ialah Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dan Yayasan Selgate untuk memulihkan akidah kanak-kanak berkenaan, selain menjaga kebajikan dan kesihatan mereka.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.