Puluhan tahun pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor terpaksa menanggung kos kenaikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam lantaran tiada kenaikan cukai taksiran dalam tempoh itu.
Kira-kira 50 peratus hasil kutipan digunakan untuk mengurus sisa manakala 30 peratus lagi membangunkan dan menyelenggara prasarana. Kos pengurusan pula menelan belanja 18 peratus daripada setiap RM1 cukai.
Walaupun kos kian meningkat, cukai tidak dinaikkan puluhan tahun meskipun Akta Kerajaan Tempatan membenarkan kadarnya disemak setiap lima tahun.
Semakan kadar tersebut cuma dibuat pada tahun ini. Sungguhpun begitu, penduduk hanya perlu membayar 25 peratus keseluruhan kadar kenaikan di semua PBT mulai 1 Januari tahun depan manakala bakinya ditampung Kerajaan Negeri.
“Sebagai contoh, jika cukai taksiran pangsapuri yang dibayar pada 2024 berjumlah RM100 setahun, selepas penilaian semula ia menjadi RM200 setahun yang sepatutnya dikutip PBT.
“(Namun), kawalan kenaikan sehingga 25 peratus yang ditetapkan menjadikan jumlah cukai baharu yang dibayar pada 2025 adalah RM125 setahun berbanding RM200 yang sepatutnya dikutip,” kata EXCO kerajaan tempatan pada 9 Disember.
[caption id="attachment_676989" align="alignnone" width="782"] EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato' Ng Suee Lim bercakap kepada media ketika sidang media berkenaan kadar baharu cukai taksiran 2025 di Bangunan Wisma Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 9 Disember 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Menurut Dato’ Ng Suee Lim, pengiraan dilakukan sedemikian kerana pemilik harta di Selangor menerima potongan sehingga 75 peratus kadar baharu cukai taksiran berbanding 100 peratus yang sepatutnya.
Pemotongan itu dikuat kuasa selama lima tahun, dengan penambahan kewangan RM355 juta bagi semua PBT. Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keluhan rakyat dan pemegang taruh yang terbeban jika berlaku kenaikan 100 peratus.
Hasil cukai taksiran pula akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk perkhidmatan bagi memastikan kawasan kediaman kekal selesa, bersih dan selamat untuk didiami.
Sebagai negeri pesat membangun, Selangor menawarkan pelbagai kemudahan awam antaranya jalan raya, pencahayaan, taman rekreasi, pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
“Kerajaan Negeri akan terus mempertingkatkan keupayaan PBT dengan menyedia pelbagai kemudahan infrastruktur awam yang sentiasa selesa, bersih dan selamat untuk digunakan,” kata Suee Lim lagi.
Tanpa kadar baharu, PBT berdepan kesukaran untuk menyediakan perkhidmatan yang kian bertambah pada masa depan. Jika semakan cukai terus ditangguh tahun demi tahun, tahap kecekapan mereka kepada rakyat terjejas, akhirnya menyusahkan semua pihak.
Puluhan tahun
Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) baharu sahaja mengenakan bayaran mulai 1 Januari tahun ini setelah 39 tahun tiada kenaikan, PBT paling lama tidak membuat semakan.
Ia diikuti Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) selama 38 tahun dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) pula tidak menaikkan cukai taksiran selama 37 tahun.
Tempoh tanpa semakan paling pendek, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Kali terakhir kadarnya dinaikkan pada 2006 atau 18 tahun lalu. Lapan lagi PBT tidak membuat semakan antara 27 hingga 33 tahun lalu.
Pada Julai, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) memaklumkan peningkatan kos pengurusan dalam situasi ekonomi semasa menyebabkan mereka terpaksa menanggung perbelanjaan yang tinggi.
"Kami perlu membelanjakan RM3 berbanding cukai yang dikutip hanya RM1 untuk setiap rumah. Contohnya, peningkatan yuran penyelenggaraan juga menyebabkan MPKS perlu menanggung kos pengurusan sisa pepejal yang tinggi," kata PBT itu.
Sebelum membuat kenaikan itu, semua 12 PBT juga memberi ruang pemegang harta untuk menyatakan bantahan. Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menerima paling banyak bantahan iaitu 44,020 diikuti Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 26,300.
Tidak bertangguh, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menumpukan 54 projek awam dengan lima daripadanya berdampak tinggi ke arah mewujudkan pembangunan mampan.
Menurut yang dipertuanya, pembinaan jambatan serta menaik taraf persimpangan Jalan Pandan Indah dan Jalan Pandan Mewah membabitkan kos RM7.3 juta dibuat bagi menyelesaikan kesesakan trafik di situ.
Jelas Dr Ani Ahmad, projek lain ialah pemasangan alat pemantauan tanah runtuh di empat lokasi di Bukit Antarabangsa dan Teratai yang menelan perbelanjaan RM4.8 juta dan dijadual siap sekitar tahun depan.
Menurutnya, kenaikan 25 peratus cukai taksiran MPAJ membawa kepada pertambahan hasil cukai taksiran pihak berkuasa tempatan itu daripada RM112 juta tahun ini kepada RM132.4 juta pada 2025 dengan kenaikan sebanyak 18.2 peratus atau RM20.4 juta.
MPS turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek khidmat awam berimpak tinggi susulan penetapan kadar baharu cukai taksiran bermula tahun depan.
Yang Dipertuanya Shahman Jalaludin menjelaskan penetapan kadar baharu itu dijangka memberi tambahan RM26 juta setahun kepada hasil kutipan sekali gus memberi ruang kepada pelaksanaan projek kecil tetapi berimpak tinggi.
“Sebanyak RM26 juta setahun tambahan itu tidak banyak jika hendak buat projek-projek besar, mungkin hanya cukup untuk satu atau dua projek. Jadi kita fokus yang kecil-kecil tapi berdampak tinggi dan beri manfaat terus kepada rakyat,” katanya.
Di sebalik kenaikan kadar itu, Kerajaan Negeri meneruskan dasar membantu kalangan pemilik harta berpendapatan rendah. Pengecualian diberi kepada pemilik rumah kos rendah, tahun kesepuluh mereka menikmati ganjaran tersebut.
Membabitkan nilai RM60 juta yang sepatutnya dikutip PBT, pengecualian kepada rumah kos rendah diperkenal sejak 2016 meliputi kira-kira 500,000 unit kediaman di semua PBT.
Sebanyak 2,869 rumah dalam kampung tradisi turut menerima pengecualian selepas Selangor memperkenal pengecualian bersasar pada awal tahun ini yang boleh dipohon pemilik harta.
Bagaimanapun, jumlah itu masih rendah berbanding sasaran 5,000 kediaman.
Bermula Januari lalu, Kerajaan Selangor melaksanakan pemberian pengecualian cukai taksiran bagi kediaman kampung secara bersasar.
Sebelum ini, ia diberi secara automatik bagi tempoh lapan tahun membabitkan RM91.49 juta daripada 745,790 unit rumah di seluruh negeri.