IPOH, 22 DIS: Anggota polis berpangkat koperal dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan air deras ketika mandi-manda bersama rakan di tali air di Jalan Utama Changkat Lada, dekat Kampung Gajah, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa yang berusia 39 tahun itu, bertugas di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan baru selesai menghadiri majlis perjumpaan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changkat Lada.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.47 petang, sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Gajah dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 16 kilometer.
“Mangsa disyaki lemas di tali air ketika mandi-manda bersama rakannya berhampiran tali air pintu gerbang Changkat Lada. Mangsa dikatakan keletihan dan cuba ke tebing namun arus deras menghanyutkan mangsa.
“Anggota bomba membuat pencarian dengan menyusuri di sepanjang tali air dengan kedalaman air dianggarkan empat meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata khidmat anjing pengesan Unit K9 bomba akan membantu operasi pencarian yang disambung 8 pagi esok.
- BERNAMA