SONGKHLA, 22 DIS: Thailand menghormati keputusan pihak berkuasa Malaysia menutup pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.
Komander Tentera Darat Bahagian Ke-4 Thailand Lt Jen Paisan Nusang berkata undang-undang yang ada sepatutnya dihormati dan rakyat di kedua-dua negara perlu mengamalkan cara hidup seperti tertakluk dalam undang-undang.
Beliau berkata rakyat di kedua-dua negara perlu menggunakan laluan yang diwartakan jika tidak mahu berdepan masalah.
“Setakat ini, terdapat rakyat Thailand ditahan pihak berkuasa Malaysia kerana menyeberangi sempadan melalui pangkalan haram di Sungai Golok dan ditahan di Depot Tahanan di Tanah Merah.
“Tindakan pihak berkuasa Malaysia itu sebenarnya satu langkah positif dan tepat bagi memastikan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand lebih terjamin,” katanya kepada pemberita menggunakan penterjemah tempatan, sempena lawatan khas media Kelantan ke atas pihak berkuasa Thailand baru-baru ini.
Paisan berkata walaupun rakyat di kedua-dua negara telah lama menetap di kawasan persempadanan dan menggunakan pangkalan haram sebagai laluan harian, ia banyak menimbulkan masalah kepada pihak berkuasa kerana berlaku kegiatan penyeludupan tidak terkawal.
“Apabila pangkalan itu ditutup ia menimbulkan rungutan terutama di sektor pelancongan di samping banyak kedai terpaksa ditutup di sempadan kedua-dua negara. Kita akan cuba selesaikan masalah ini melalui perbincangan antara pihak berkuasa di kedua-dua negara,” katanya.
Mengulas mengenai kemasukan pendatang tanpa izin ke Malaysia, Paisan berkata Thailand dijadikan negara transit.
“Kami mendapati kumpulan etnik Rohingya dari Myanmar menjadikan Thailand sebagai transit sebelum menyeberang masuk ke sempadan Malaysia menggunakan laluan haram.
“Kumpulan pendatang ini masuk ke Malaysia kerana mahukan kehidupan lebih baik kerana keadaan di negara mereka tidak stabil dan berkemungkinan juga mereka masuk ke Malaysia kerana terdapat permintaan dalam sektor pekerjaan di negara itu,” katanya.
November lalu, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff mengumumkan larangan merentas sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan ke atas mana-mana individu yang menggunakan laluan haram untuk ke Golok, Thailand yang berkuat kuasa 1 Disember lepas.
- BERNAMA