SUBANG JAYA, 22 DIS: Program Tangkap Ikan Bandaraya (pleco) siri kedua di anak Sungai Kuyoh, Seri Kembangan mendapat sambutan di kalangan kaki pancing sekali gus menyokong usaha Kerajaan Negeri memulihara spesies tempatan.
Pesara tentera laut, Syuhaily Hasibullah, 45, berkata beliau hadir setiap minggu bermula 7 Disember lalu selepas melihat kempen program itu melalui Facebook.
“Hobi saya memancing dan sejak bersara saya banyak melakukan aktiviti ini tetapi susah ingin mendapat ikan asli memandangkan ikan bandaraya ini sudah menguasai sungai di negeri ini.
[caption id="attachment_678921" align="alignleft" width="456"] Peserta Syuhaily Hasibullah ditemui ketika Program Tangkap Ikan Bandaraya (pleco) di anak Sungai Kuyoh, Seri Kembangan pada 22 Disember 2024. Foto FITRI HAZIM HAZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
“Jadi, saya menyertai program ini untuk bersama-sama Kerajaan Negeri menangani populasi ikan pleco yang menjejaskan spesis tempatan,” katanya ketika ditemui Media Selangor.
Pada masa sama, beliau berharap inisiatif Selangor itu menjadi contoh di seluruh negara bagi memelihara habitat perairan tempatan.
Peserta lain Dzulkarnain Jamil, 34, berkata Kerajaan Negeri perlu aktif mempromosi program itu bagi menarik lebih ramai peserta menyertainya.
“Kempen kesedaran sahaja tidak mencukupi dan masyarakat perlu tahu ikan pleco membawa ancaman kepada ikan tempatan.
“Saya memang minat menjala dan selepas mengetahui program melalui Facebook terus ke sini untuk bersama menangkap ikan pleco ini,” kongsi pegawai polis itu.
[caption id="attachment_678922" align="alignright" width="423"] Peserta Dzulkarnain Jamil ditemui ketika Program Tangkap Ikan Bandaraya (pleco) di anak Sungai Kuyoh, Seri Kembangan pada 22 Disember 2024. Foto FITRI HAZIM HAZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Program tangkapan ikan asing siri kedua diteruskan sepanjang bulan ini dengan tawaran insentif RM1 bagi setiap kilogram yang diadakan setiap Sabtu dan Ahad.
Siri pertama dijalankan September lalu di Denai Sungai Kebangsaan, Sungai Langat sebagai langkah memulihara spesies tempatan serta sungai.
Selain menjadi pemangsa, ikan invansif berkenaan juga berupaya menyebabkan berlakunya runtuhan tebing sungai dan ban memandangkan keupayaan menebuk lubang untuk bertelur.
[caption id="attachment_678913" align="aligncenter" width="1191"] Hasil tangkapan ikan asing ditimbang urus setia skuad pemburu ikan asing dalam Program Tangkap Ikan Bandaraya (pleco) di anak Sungai Kuyoh, Seri Kembangan pada 22 Disember 2024. Foto FITRI HAZIM HAZAM/MEDIASELANGOR[/caption]