ad
AGENDA

Polis teliti CCTV, sahkan punca kematian kucing di UM akibat anjing liar

22 Dis 2024, 6:50 AM
Polis teliti CCTV, sahkan punca kematian kucing di UM akibat anjing liar
Polis teliti CCTV, sahkan punca kematian kucing di UM akibat anjing liar

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Siasatan polis menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, kematian beberapa ekor kucing Universiti Malaya (UM), baru-baru ini adalah berpunca daripada serangan sekumpulan anjing liar.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata malah perkara itu juga telah dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang mengesahkan kematian kucing-kucing tersebut adalah disebabkan kecederaan akibat serangan anjing liar.

“Polis telah menerima tiga laporan berhubung kejadian kematian kucing di pusat pengajian tinggi tempatan tersebut pada Selasa, Jumaat dan semalam. Bagaimanapun, tiada saksi yang menyaksikan kejadian tersebut berlaku.

“Melalui hasil semakan rakaman CCTV di sekitar kawasan yang terlibat mendapati sekumpulan anjing liar yang telah bertindak menyerang kucing-kucing tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

[caption id="attachment_659745" align="alignleft" width="444"] Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa. Foto BERNAMA[/caption]

Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini bagi mengelakkan berlaku sebarang kegelisahan dan mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi talian Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

“Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan secara rasmi sekiranya terdapat kes penganiayaan terhadap mana-mana haiwan kepada pihak veterinar di pautan awa.dvs.gov.my. agar tindakan tegas dapat diambil terhadap individu yang membuat zalim ke atas haiwan,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa tindakan serta-merta dan siasatan menyeluruh dilaksanakan untuk mengenal pasti punca kematian kucing yang ditemukan dalam keadaan ngeri di UM, baru-baru ini.

Beliau berkata siasatan teliti yang dilaksanakan akan mengambil kira semua fakta kes terutamanya penemuan kesan bahagian tubuh kucing yang seperti dipotong.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.