ad
AGENDA

Dua lelaki hanyut dari perairan Pulau Pinang ditemukan selamat di Acheh

22 Dis 2024, 4:13 AM
Dua lelaki hanyut dari perairan Pulau Pinang ditemukan selamat di Acheh

BALIK PULAU, 22 DIS: Dua rakan yang dilapor hilang selepas bot dinaiki hanyut di perairan Kuala Sungai Pinang, di sini, Selasa lalu, ditemukan selamat.

Penemuan Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, serta rakannya Nor Hasrul Abdullah, 25, itu disahkan Ismail Zakaria, 51, bapa seorang daripada mangsa.

Katanya, dia menerima maklumat berhubung penemuan anaknya yang juga berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran itu kira-kira jam 10 pagi.

"Saya terima panggilan polis berhubung penemuan sebelum dimaklumkan oleh pengerusi kariah masjid.

"Mereka dikatakan diselamatkan oleh nelayan di Acheh, Indonesia dan kini dalam keadaan selamat.

"Saya belum dapat berhubung dengan Hakimi namun menerusi gambar yang diterima, keadaannya dilihat baik-baik saja cuma kulitnya agak gelap," katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.

Ismail mengucapkan terima kasih kepada semua agensi terlibat termasuk rakan nelayan yang membantu dalam operasi pencarian dan penyelamatan (SAR).

"Saya belum pasti bila mereka akan bawa kedua-duanya pulang dan masih menunggu maklumat daripada pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata sidang media berhubung penemuan mangsa akan diadakan petang ini.

Sebelum ini media melaporkan mengenai kehilangan dua lelaki berkenaan selepas bot dinaiki mereka hanyut di perairan Kuala Sungai Pinang, di sini, kira-kira jam 11.30 malam.

Operasi SAR yang masuk hari kelima dihentikan semalam selepas tidak menemukan sebarang petunjuk.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.