KAJANG, 22 DIS: Kerajaan wajar mewujudkan moratorium bagi melindungi karya satira dan parodi daripada sebarang siasatan serta pendakwaan undang-undang, kata ahli parlimen Bangi.
Menurut Syahredzan Johan, udang-undang bagi pelaksanaan perkara itu diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, masing-masing pada 9 dan 16 Disember lalu, serta sedang menanti untuk dikuat kuasa.
“Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 memberikan mesej jelas mengenai keperluan melindungi satira dan parodi.
“Sementara menunggu proses perkenan diraja, pewartaan dan penentuan tarikh kuat kuasa, suatu moratorium wajar terhadap siasatan dan pendakwaan bawah Seksyen 233(1) Akta 588,” katanya.
[caption id="attachment_678858" align="alignright" width="444"] Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan bercakap kepada media selepas merasmikan Hentian Buku Selangor di Kompleks Hentian Kajang, Hulu Langat pada 21 Disember 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau ditemui selepas menyempurnakan perasmian Hentian Buku Selangor di Kompleks Hentian Kajang di sini, semalam, yang turut dihadiri Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak bersetuju sekiranya aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza ditangkap atau didakwa.
Menurutnya, beliau tidak percaya setiap kritikan terhadap kerajaan perlu disiasat jika ia tidak keterlaluan hingga menyentuh aspek raja, agama dan kaum (3R).
Sebelum ini, Fahmi dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung karikatur yang didakwa memperlekeh pelantikan Tun Musa Aman sebagai yang di-pertua Sabah.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman selepas laporan diterima pihaknya pada Rabu.