KUANTAN, 21 DIS: Program Jerayawara Siswa #KitaSelangor 2024 diteruskan di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini bagi menghebahkan inisiatif disedia negeri kepada generasi muda.
Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor berkata program yang diperkenalkan tahun ini itu juga bakal memudahkan golongan berkenaan terutama penuntut membuat permohonan sekali gus menerima pelbagai manfaat.
“Selangor ada banyak inisiatif. Antaranya hadiah RM1,000 (Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi) kepada anak Selangor yang masuk universiti awam (UA).
[caption id="attachment_678708" align="alignleft" width="410"] Pengerusi Sekretariat Pembangunan Mahasiswa Selangor Mohd Hidayat Mohd Sauffi berucap ketika program Jerayawara Siswa #KitaSelangor Zon Pantai Timur di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pahang pada 21 Disember 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kerajaan Negeri juga beri subsidi RM500 untuk dapatkan lesen kenderaan kepada yang layak menerusi skim Ride Selangor. Setiap anak Selangor juga dilindungi insurans berkelompok.
“Jika berlaku sesuatu, waris atau keluarga akan terima RM10,000. Sebab itu kita bergerak ke beberapa universiti supaya generasi muda tahu tawaran dan program negeri,” kata Mohd Hidayat Mohd Sauffi yang juga Pengerusi Sekretariat Pembangunan Mahasiswa Selangor.
Menerusi belanjawan tahun ini, Kerajaan Negeri memperkenalkan program berkenaan dengan menjelajah seluruh negara bagi menyantuni mahasiswa anak Selangor di UA.
Program yang menampilkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pernah dianjur di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Februari lalu dan Universiti Sains Malaysia (USM), Julai lalu.
Pada majlis hari ini, kira-kira 300 penuntut dari UMPSA, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia cawangan Gambang, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Sultan Zainal Abidin menyertainya.
[caption id="attachment_678709" align="aligncenter" width="985"] Kira-kira 300 penuntut universiti menyertai program Jerayawara Siswa #KitaSelangor Zon Pantai Timur di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada 21 Disember 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]