ad
AGENDA

Vicente ucap selamat tinggal, harap Harimau Malaya terus maju

21 Dis 2024, 1:00 PM
Vicente ucap selamat tinggal, harap Harimau Malaya terus maju

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Ketua jurulatih Malaysia Pau Marti Vicente yang mengucapkan selamat tinggal kepada Harimau Malaya berharap legasi yang dibina bersama bekas 'bos' Kim Pan Gon terus berkembang dan maju.

Pengendali berusia 41 tahun dari Sepanyol yang bertugas sebagai penolong jurulatih kepada Pan Gon ketika mengambil alih pasukan Malaysia pada Januari 2022 itu berkata matlamat utama mereka adalah mencapai sesuatu yang bermakna sepanjang tempoh berkhidmat.

“Ketika kami datang ke sini dua tahun lepas sebagai sekumpulan jurulatih, kami cuba mencapai sesuatu dan menjadi sebahagian kecil sejarah. Malaysia kemudiannya layak ke Piala Asia selepas sekian lama, yang saya rasa ia akan diingati orang ramai, kejayaan ini (layak ke Piala Asia) pastinya akan berterusan untuk tempoh panjang.

“Jadi saya harap legasi ini tidak berakhir, tetapi terus berkembang dan jika ia bertambah baik, saya akan berasa sangat gembira,” katanya pada sidang media selepas Harimau Malaya seri tanpa jaringan dengan Singapura dalam perlawanan terakhir Kumpulan A kempen Piala ASEAN 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini semalam.

Keputusan itu mengesahkan kedudukan skuad The Lions sebagai naib juara, untuk menempah slot ke peringkat kalah mati bersama juara bertahan Thailand, yang mengungguli kedudukan teratas Kumpulan A, manakala Malaysia sekadar menduduki tempat ketiga.

Kali terakhir Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan adalah pada edisi 2016.

Malaysia selaku juara 2010 juga pernah menjadi naib juara tiga kali iaitu pada 1996, 2014 dan 2018.

Ketika Vicente mengucapkan selamat tinggal kepada Harimau Malaya, jurulatih kelahiran Australia Peter Cklamovski akan mengambil alih tugas itu mulai 1 Januari. Perubahan itu adalah sebahagian daripada usaha awal revolusi Persatuan Bolasepak Malaysia untuk memperkasakan skuad bola sepak kebangsaan.

“Saya mendoakan yang terbaik untuknya (Cklamovski). Bagi saya, Malaysia kini akan menjadi pasukan kebangsaan kegemaran saya. Jadi saya akan menyokong dari rumah dan mendoakan yang terbaik untuk beliau, pasukan kejurulatihan dan semua pemain kerana saya percaya mereka boleh mencapai apa yang mereka inginkan,” kata Vicente.

Sementara itu beliau mengimbau banyak kenangan indah yang tercipta sepanjang bersama pasukan, tetapi perkara yang paling diingatinya ialah detik istimewa berlatih di hadapan ribuan penyokong yang penuh bersemangat.

"Berada di hadapan penyokong dan menyaksikan mereka teruja melihat anda bermain atau berlatih, saya percaya itu adalah keistimewaan paling besar.

“Saya agak sedih kerana kita tidak dapat bermain lebih banyak perlawanan di tempat sendiri dan semasa Pestabola Merdeka 2024, tidak ramai penonton datang, tetapi untuk menamatkan seperti malam ini, walaupun tidak layak, dengan sokongan lebih 30,000 orang di stadium, itu adalah sesuatu yang paling memuaskan bagi saya,” tambahnya.

Vicente dilantik sebagai jurulatih sementara selepas peletakan jawatan secara mengejut Pan Gon pada Julai lalu.

Dalam tempoh singkat sebagai ketua jurulatih sementara, bekas penolong jurulatih Barcelona B dan Barcelona B-19 itu membawa Malaysia memenangi Pestabola Merdeka 2024 di sini pada September lalu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.