IPOH, 21 DIS: Polis meminta bantuan orang ramai mengesan guru wanita berusia 43 tahun yang dilaporkan hilang sejak 10 Disember lalu.
Nur Nazalishah Ahmad yang tinggal di Taman Lapangan Harmoni di sini kali terakhir dilihat berada di kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata laporan kehilangan wanita itu dibuat adiknya di Balai Polis Tampoi, Johor.
“Mengikut laporan awal yang diterima, wanita berkenaan dilaporkan hilang kerana dipercayai mempunyai masalah rumah tangga,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh melalui talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran.
- BERNAMA