ad
AGENDA

Lebih 916,000 pelawat India ke Malaysia dalam tempoh setahun

21 Dis 2024, 8:56 AM
Lebih 916,000 pelawat India ke Malaysia dalam tempoh setahun

PUTRAJAYA, 21 DIS: Negara merekodkan 916,821 kemasukan pelawat India sepanjang tempoh setahun pengecualian visa bagi rakyat negara itu, bermula 1 Disember 2023 hingga 1 Disember 2024, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban.

Zakaria berkata sebagai menyambut baik keputusan kerajaan melanjutkan pengecualian visa berkenaan yang sepatutnya berakhir 31 Disember ini selama dua tahun iaitu hingga 31 Disember 2026, peningkatan 223 peratus itu memberikan rangsangan kepada industri perniagaan negara.

“Pada 2023 negara merekodkan 283,885 pelawat dari India. Kemasukan pelancong ini bukan sahaja menjana pendapatan tetapi mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Jabatan Imigresen (JIM) hari ini.

Semalam, media melaporkan pengumuman pelanjutan pengecualian visa berkenaan yang diputuskan kerajaan selari dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 serta persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.

Bagi menyokong pelaksanaan itu, Zakaria berkata JIM akan mempertingkatkan aspek kawalan dan penguatkuasaan yang telah dilaksanakan ketika awal pelaksanaan pengecualian visa pada 2023.

Antara bentuk kawalan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan adalah pasukan khas pemantau pergerakan keluar pelawat China dan India, aktiviti naziran di kawasan tumpuan warga asing, prosedur ketat ke atas notis penolakan masuk serta pematuhan pengisian Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC).

“Proses kemasukan masih mengekalkan semakan keselamatan iaitu pelawat perlu mengemukakan tiket pulang dan bukti penginapan seperti butiran tempahan hotel yang sah,” katanya.

Zakaria menegaskan pihaknya tidak berkompromi dengan aspek keselamatan sedia ada dan terus komited dalam melaksanakan usaha berterusan bagi menambah baik kelancaran pergerakan keluar masuk yang secara tidak langsung menyokong industri pelancongan negara.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.